Skip to main content

Malaysia

Kekayaan perlu dinikmati dan dikongsi - Hannah

Hannah (tengah) hadir pada majlis perasmian HSBC Wealth Centre di ibu negara hari ini. - Foto Bernama
Hannah (tengah) hadir pada majlis perasmian HSBC Wealth Centre di ibu negara hari ini. - Foto Bernama

Ringkasan AI

  • Menteri Hannah Yeoh menegaskan kekayaan perlu dinikmati dan dikongsi, dengan kemakmuran kewangan seimbang bersama kualiti hidup dan tanggungjawab sosial.
  • Kerajaan memberi keutamaan kepada pengukuhan ekonomi, pemeliharaan kawasan hijau, pengurangan risiko banjir, serta penambahbaikan infrastruktur di Kuala Lumpur.
  • Hannah menyeru sektor perniagaan dan masyarakat menyesuaikan strategi serta menyokong usaha membina negara yang makmur dan inklusif untuk semua lapisan rakyat.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Kekayaan bukan sekadar untuk dikumpul, sebaliknya perlu dinikmati dan dikongsi dengan orang lain, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh.

Beliau berkata kemakmuran kewangan perlu diseimbangkan dengan kualiti hidup dan tanggungjawab sosial, manakala ekonomi yang kukuh serta bandar berdaya huni menjadi asas untuk rakyat menikmati kemakmuran dan menyumbang secara bermakna kepada masyarakat.

Berucap pada majlis perasmian HSBC Wealth Centre di sini hari ini, Hannah berkata keutamaan kerajaan adalah memperkukuh ekonomi Malaysia bagi memastikan kemakmuran dapat dinikmati semua lapisan masyarakat, dengan pertumbuhan ekonomi kekal sebagai asas penting kepada kemajuan negara.

Advertisement

Beliau berkata Kuala Lumpur turut memberi tumpuan kepada usaha mewujudkan persekitaran bandar berdaya huni bagi membolehkan penduduk menikmati kekayaan dan kualiti hidup yang lebih baik, termasuk melalui pemeliharaan kawasan hijau, pengurangan risiko banjir kilat, penambahbaikan jaringan perhubungan serta pemeliharaan warisan bandar raya.

“Saya ingin memberi jaminan kepada anda semua bahawa apabila Kerajaan MADANI menyatakan kesungguhan untuk meningkatkan ekonomi, kami benar-benar serius kerana mahu memastikan semua orang menikmati kemakmuran.

Advertisement

“Sebab itulah di Kuala Lumpur, kita memberikan tumpuan besar kepada usaha melindungi kawasan hijau. Keutamaan utama saya tahun ini adalah memastikan taman dan kawasan hijau terus dilindungi serta dipelihara,” katanya.

Beliau berkata antara inisiatif dilaksanakan ialah usaha mewartakan taman, membangunkan 32 kawasan hijau berkonsepkan hutan mikro menjelang 2027 serta merancang pembinaan laluan pejalan kaki berbumbung sepanjang 22 kilometer merangkumi kesemua 11 kawasan Parlimen di Kuala Lumpur menerusi Belanjawan 2027.

Hannah berkata Kuala Lumpur turut melaksanakan langkah tebatan banjir dan berusaha ke arah menjadi Bandar Span (Sponge City), dengan jumlah kawasan berisiko banjir berkurangan daripada lebih 30 pada 2022 kepada 14 ketika ini, serta disasarkan turun kepada 10 menjelang akhir tahun.

Beliau berkata kemakmuran juga perlu dikongsi dengan golongan kurang bernasib baik, dengan perkhidmatan bas sekolah percuma yang disediakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kepada anak-anak keluarga berpendapatan rendah di perumahan awam sebagai contoh penggunaan sumber awam bagi meningkatkan akses kepada pendidikan.

Hannah turut menyeru komuniti perniagaan supaya meneroka peluang di luar pasaran konvensional dengan mengenal pasti potensi baharu susulan perubahan gaya hidup, demografi dan keperluan pengguna, khususnya dalam kalangan warga emas.

Beliau berkata warga emas bukan sahaja memerlukan penjagaan kesihatan dan aktiviti fizikal, malah teman berbual, interaksi sosial serta program bermakna, sekali gus membuka peluang kepada penyediaan perkhidmatan dan platform yang memenuhi keperluan golongan itu.

Berkongsi pengalamannya ketika menerajui Kementerian Belia dan Sukan, Hannah berkata institusi dan sektor perniagaan perlu bersedia menilai semula pendekatan konvensional serta menyesuaikan strategi mengikut perubahan semasa.

Beliau menjadikan peningkatan jumlah keseluruhan pingat Malaysia pada Sukan SEA 2025 di Thailand sebagai contoh manfaat daripada perubahan strategi.

Katanya, kontinjen negara membawa pulang 231 pingat, jumlah tertinggi pernah diraih Malaysia pada Sukan SEA di luar Kuala Lumpur, selepas mengubah pendekatan daripada menetapkan sasaran berasingan pingat emas, perak dan gangsa kepada sasaran jumlah keseluruhan pingat.

Hannah berkata kesediaan untuk menyesuaikan pendekatan juga penting dalam sektor perniagaan berikutan perubahan cara masyarakat menjana pendapatan, berbelanja dan merancang persaraan, sekali gus mewujudkan peluang baharu untuk memenuhi keperluan pelbagai lapisan masyarakat.

Beliau turut menyeru masyarakat supaya terus menyokong usaha membina negara yang selamat, stabil dan makmur, dengan setiap individu tanpa mengira latar belakang berpeluang untuk maju, menikmati kekayaan serta menyumbang kepada kesejahteraan orang lain.

“Untuk mencapai semua itu, kita memerlukan ekonomi yang kukuh, bandar berdaya huni dan masyarakat yang memberikan peluang kepada semua untuk maju,” katanya.

Terletak di Jalan P Ramlee, di tengah-tengah kawasan Segi Tiga Emas Kuala Lumpur, HSBC Wealth Centre merupakan pusat pengurusan kekayaan ketiga bank itu di Malaysia dan kedua di Kuala Lumpur, selepas pusat utamanya di Tun Razak Exchange (TRX) serta sebuah lagi di Johor Bahru.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif HSBC Bank Malaysia Datuk Omar Siddiq dan Ketua Kekayaan Antarabangsa dan Perbankan Premier HSBC Bank Malaysia Linda Yip.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement