PENGUMUMAN pakej rangsangan oleh perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Jumaat ini disambut baik segenap lapisan masyarakat, terutamanya kalangan yang amat terkesan akibat pandemik COVID-19.

Sama ada anda pemandu teksi, pemandu grab, petani, pengusaha restoran, penjual nasi lemak, penjual goreng pisang, penjual burger dan pekerja harian, pakej rangsangan itu diharap dapat memberi manfaat kepada seluruh rakyat daripada segenap lapisan.

BACA: PM umum pakej rangsangan ekonomi prihatin rakyat Jumaat ini

Berikut warkah daripada Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Amiruddin Hamzah yang diutuskan kepada perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengutarakan pandangannya ke arah pelaksanaan yang efektif:



Yang Amat Berhormat
Perdana Menteri Malaysia

PER: KE ARAH RANGSANGAN EKONOMI PRIHATIN RAKYAT YANG EFEKTIF

Saya merujuk kepada pengumuman YAB Perdana Menteri pada hari ini, 25.3.2020, berkenaan perlanjutan Perintah Kawalan Pergerakan berterusan sehingga ke tarikh 14.4.2020.

Ini semestinyalah adalah suatu tindakan yang wajar dan perlu dilakukan demi kebaikan yang lebih meluas untuk rakyat negara Malaysia (the greater good).

Dalam keadaan negara yang sedang berusaha untuk mencantas dan menghentikan penularan wabak Covid-19 ini, saya percaya bahawa pihak Kerajaan juga prihatin akan keadaan ekonomi sektor korporat dan individu yang terjejas.

YAB Perdana Menteri telah memaklumkan bahawa satu pakej rangsangan ekonomi prihatin rakyat yang lebih menyeluruh, akan diumumkan pada hari Jumaat kelak.

Saya menyokong penuh tindakan dan strategi yang diambil oleh pihak kerajaan di bawah pimpinan YAB Perdana Menteri berhubung pakej rangsangan ekonomi prihatin rakyat tersebut.

Bahkan, Bank Negara Malaysia (“BNM”) telah, pada 24.3.2020 mengumumkan yang mereka akan melaksanakan penangguhan pembayaran (moratorium) selama enam (6) bulan untuk beberapa kategori pinjaman bank.

Tindakan BNM tersebut sememangnya sedikit sebanyak dapat meringankan beban ekonomi sektor korporat dan individu yang terjejas akibat kesan penularan wabak Covid-19 ini.

Namun demikian, ianya juga adalah perlu untuk meningkatkan lagi senarai bantuan-bantuan atau sokongan-sokongan kewangan untuk membantu sektor korporat dan individu yang terjejas tersebut khususnya dalam menghadapi kejutan tawaran dan permintaan dalam bidang perniagaan dan perdagangan.

Berikut adalah pandangan-pandangan saya untuk tujuan perlaksanaan yang lebih efektif:

(1) Pertama, langkah-langkah dalam membantu ekonomi rakyat tersebut boleh dijadikan lebih bermakna dan berkesan sekiranya penangguhan pembayaran (moratorium) ke atas pinjaman-pinjaman selama enam (6) bulan tersebut adalah juga diikuti dengan penggantungan faedah ke atas pinjaman-pinjaman tersebut, berbanding faedah (keuntungan bagi pinjaman-pinjaman perbankan Islam) berterusan dan terakru ke atas pinjaman-pinjaman di bawah penangguhan pembayaran (moratorium) tersebut.

Ini bermakna bayaran balik pinjaman yang akan dibayar selepas tempoh enam (6) bulan tersebut tidak akan bertambah dengan jumlah faedah terakru.

Manfaat yang sama juga adalah terpakai bagi pinjaman perbankan Islam.


(2) Kedua, saya juga berpandangan yang penangguhan pembayaran (moratorium) tersebut juga wajar dipanjangkan kepada sektor penjawat awam yang berkhidmat di barisan hadapan (frontliners) termasuklah doKtor-doktor, jururawat-jururawat, askar-askar dan semua kakitangan/personel yang termasuk di bawah kategori barisan hadapan (frontliners) bagi tujuan pebayaran balik pinjaman perumahan kepada Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam.

(3) Ketiga adalah berkenaan pengeluaran I-Lestari di mana pencarum KWSP di bawah umur 55 tahun boleh mengeluarkan wang simpanan dalam Akaun 2 maksimum RM500 sebulan selama 12 bulan dan pengurangan kadar caruman pekerja sebanyak 4%, yang mana kedua-duanya berkuatkuasa bulan April 2020.

Saya berpandangan yang bentuk bantuan ini adalah tidak praktikal untuk masa depan pencarum-pencarum tersebut. Ini adalah kerana wang simpanan KWSP adalah untuk simpanan dan kegunaan hari tua mereka.

Golongan yang terkesan adalah termasuk kelompok nelayan, pekebun kecil, pekerja bergaji harian dan penjual burger.

Majoriti daripada pencarum-pencarum tersebut tidak mempunyai wang yang mencukupi di dalam Akaun 2 mereka untuk membuat pengeluaran maksima RM 500 sebulan selama 12 bulan tersebut.

Ini akan menjadikan mereka senang yang hanya sementara dan terpaksa akhirnya menanggung kesusahan di masa depan.

Justeru, adalah wajar untuk bantuan jenis lain diberikan kepada mereka.


(4) Keempat, saya juga berpandangan yang Kadar Dasar Semalaman (Overnight Policy Rate) (“OPR”) sedia ada pada kadar 2.5% diturunkan kepada 1.0% hingga 1.5%.

Apabila OPR diturunkan, pembayaran bulanan pinjaman mereka juga akan berkurangan. Semestinya ini dapat meringankan beban ekonomi sektor korporat dan individu negara kita terutamanya dalam masa-masa yang mencabar ini.

Dalam keadaan yang luar biasa dan terkecuali seperti yang dihadapi negara sekarang ini, pendekatan yang wajar diambil juga perlu lebih luar biasa dan istimewa.

Peraturan-peraturan dan langkah-langkah berhemah yang diterapkan dalam sistem asasi perbankan selama ini, yang mana telahpun menyumbang kepada kestabilan dan keuntungan sistem tersebut semenjak Krisis Kewangan Asia tiga (3) dekad yang lalu, adalah semestinya berperanan untuk digunakan sebagai satu pendekatan yang fleksibel dalam keadaan semasa ini.

Saya berharap agar pandangan saya ini dapat dipertimbangkan oleh YAB Perdana Menteri dalam merealisasikan pakej ransangan ekonomi prihatin rakyat tersebut.


Yang benar,

Dato’ Wira Hj Amiruddin Hj Hamzah
Ahli Parlimen Kubang Pasu
ADUN Anak Bukit