KUALA LUMPUR: Angkatan Muda Keadilan (AMK) Wilayah Persekutuan hari ini membuat laporan polis terhadap Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan Azhar Yahya kerana mengeluarkan kenyataan berunsur 3R (kaum, agama dan institusi diraja).

Laporan dibuat di Balai Polis Setapak oleh Ketua AMK Wilayah Persekutuan Mohammad Azfar Aza Azhar itu menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan lanjut kerana kenyataan yang dibuat oleh Azhar mengenai pilihan raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) boleh mengakibatkan ketegangan kaum selain menggunakan fakta yang salah.

"Kita faham mungkin ada yang setuju atau tidak mengenai pilihan raya PBT, tapi apabila kita mainkan isu perkauman terutama sekali apabila menggunakan fakta yang salah.

"Beliau (Azhar) menyebut di Lembah Pantai dan Bandar Tun Razak merupakan kawasan majoriti bukan Melayu. Itu kenyataan yang salah kerana di Lembah Pantai mempunyai 59 peratus pengundi Melayu, Cina (17 peratus) dan India (11 peratus)...di Bandar Tun Razak, 62 peratus terdiri daripada kaum Melayu dan selebihnya adalah kaum bukan Melayu," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di sini.

Sementara itu, Naib Pengerusi Keadilan Wilayah Persekutuan dan Ketua Cabang Keadilan Wangsa Maju Lai Chen Heng turut membuat laporan polis berhubung perkara itu di balai sama menyifatkan kenyataan Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan itu sebagai tidak sensitif.

"Saya berharap pihak polis boleh ambil tindakan dan menyiasat apa yang dimaksudkan olehnya (Azhar). Tindakan wajar patut diambil untuk membendung perkara ini daripada berleluasa. Isu perkauman tak patut berlaku di zaman ini," katanya.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Supt Ashari Abu Samah ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan itu dan memaklumkan kes dirujuk ke Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman memandangkan ia menyentuh isu 3R.

Terdahulu, Azhar Yahya memuat naik hantaran menerusi beberapa platform media sosial yang mengulas mengenai pilihan raya PBT.

-- BERNAMA