MALAYSIA
AMM-58: AI, integrasi ekonomi jadi tumpuan mesyuarat bilateral Malaysia-China

Mohamad dan Wang Yi bertemu di sela Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 yang memasuki fasa terakhirnya hari ini. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan rakan sejawatannya dari China, Wang Yi mengulangi komitmen Malaysia dan China untuk memperkukuhkan kolaborasi ekonomi, kesalinghubungan serantau dan pembangunan mampan dalam mesyuarat mereka hari ini.
Ia termasuk pemerkasaan usahasama dalam bidang kecerdasan buatan (AI), ekonomi digital serta Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
“Kedua-dua pihak turut membincangkan kejayaan lawatan rasmi (Presiden Xi Jinping) dan Kenyataan Bersama Pengukuhan Perkongsian Strategik Komprehensif, serta inisiatif Membina Komuniti Malaysia-China Dengan Masa Depan Bersama,” kata Wismaputra dalam satu kenyataan hari ini.
Mohamad dan Wang Yi bertemu di sela Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 yang memasuki fasa terakhirnya hari ini.Menurut Wisma Putra, Malaysia turut mengulangi komitmen untuk melaksanakan mandatnya selaku Negara Koordinator Dialog ASEAN-China bagi penggal 2024-2027, di samping menyatakan penghargaan terhadap sokongan China dalam peranannya selaku Pengerusi ASEAN tahun ini.
Kenyataan itu bagaimanapun tidak menyentuh mengenai sebarang perbincangan berkenaan tarif Amerika Syarikat (AS), yang mendominasi agenda AMM tahun ini.
Sebelum ini, Setiausaha Negara AS, Marco Rubio berkata, negara-negara anggota ASEAN mungkin dikenakan tarif lebih rendah berbanding rantau lain.
Ia selepas pertemuannya dengan Mohamad dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Khamis.
Rubio dijadual mengadakan mesyuarat bilateral bersama Wang Yi hari ini.
AMM-58 yang berlangsung dari 7 hingga 11 Julai 2025 menghimpunkan Menteri-Menteri Luar ASEAN bersama rakan dialog utama termasuk Amerika Syarikat, Rusia, China, Turkiye dan Korea Selatan.
Ia bertujuan membincangkan isu serantau dan kerjasama antarabangsa merentasi pelbagai bidang termasuk ekonomi, keselamatan, pembangunan dan hubungan rakyat ke rakyat.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami