MALAYSIA
AMM ke-58 serlahkan peranan seimbang ASEAN di tengah-tengah persaingan kuasa besar

Kehadiran Wang Yi (kiri) dari China dan Mario Rubio (kanan) dari Amerika ke AMM ke-58 di Kuala Lumpur baru-baru ini mencerminkan kepentingan strategik ASEAN yang semakin meningkat dalam landskap global yang sedang berubah. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Kehadiran China dan Amerika Syarikat (AS) pada Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 dan mesyuarat berkaitan baru-baru ini mengukuhkan komitmen kumpulan itu untuk mengekalkan keamanan dan berkecuali di rantau ini di tengah-tengah persaingan kuasa besar yang meningkat, serta memperkukuh kredibiliti diplomatik Malaysia sebagai rakan yang dipercayai dan bakal menjadi penghubung antara kuasa bersaing.
Penganalisis percaya penglibatan kedua-dua kuasa tersebut mencerminkan kepentingan strategik ASEAN yang semakin meningkat dalam landskap global yang sedang berubah, dengan China mempamerkan pendekatan diplomatik yang stabil dan AS berusaha untuk memulihkan semula kepercayaan di rantau ini.
Yang paling utama, mereka mengiktiraf pemusatan ASEAN.
Di tengah-tengah persaingan geopolitik yang memuncak semula, seorang penganalisis berpendapat penglibatan aktif Menteri Luar China, Wang Yi mencerminkan evolusi dasar luar Beijing dan keinginannya untuk sejajar dengan prinsip keamanan dan berkecuali ASEAN.Begitu juga, kehadiran Setiausaha Negara AS, Marco Rubio di Kuala Lumpur menunjukkan usaha Washington untuk memperkukuh semula hubungan dengan Asia Tenggara sebagai rakan keselamatan dan ekonomi, lebih-lebih lagi selepas kekecohan yang dicetuskan oleh tarif besar-besaran AS yang akan berkuat kuasa Ogos ini.
CHINA BERMAIN CATUR DIPLOMATIK
"Penyertaan Wang adalah masa yang produktif bagi China. Ia peluang untuk menunjukkan kedudukan antarabangsa dan kesediaannya untuk berdialog," kata Dr Rowena Abd Razak, perunding sejarah dan Rakan Bersekutu IMAN Research (sebuah badan pemikir yang berpangkalan di Kuala Lumpur dan memberi tumpuan kepada keselamatan perlindungan, pembinaan keamanan dan pembangunan mampan).
Beliau berkata, penegasan semula sokongan China terhadap Zon Keamanan, Kebebasan dan Berkecuali (ZOPFAN), bersama pertemuan Wang dengan Rubio, menunjukkan keterbukaan Beijing untuk bekerjasama dalam rangka antarabangsa.
Tidak syak lagi, ia satu kejayaan besar bagi ASEAN.
"Langkah-langkah ini jelas menunjukkan keupayaan China untuk bermain strategi dasar luar yang bijaksana - jauh berbeza dengan pencerobohan yang dilihat dalam dasar AS serta ketidaktentuan pentadbiran (Donald) Trump," katanya.
Rowena menambah, cara Wang membawa diri sepanjang mesyuarat mencerminkan keselarasan dengan aspirasi ASEAN untuk mengekalkan keamanan dan membina Asia Tenggara yang bebas nuklear.
Meskipun China merupakan kuasa besar ekonomi dan Asia Tenggara bergantung kepada ekonominya, pendekatan Wang turut mencerminkan penghormatan terhadap pemusatan ASEAN serta peranan Malaysia selaku Pengerusi blok serantau itu tahun ini, katanya.
Dari sudut ekonomi, katanya, Beijing sedang mengambil peluang daripada potensi pertumbuhan rantau ini, terutamanya ketika AS mengamalkan dasar perlindungan.
Beliau merujuk kepada cadangan pemerkasaan Perjanjian Perdagangan Bebas China-ASEAN (CAFTA 3.0) sebagai cerminan visi China untuk integrasi lebih mendalam dengan rantau ini.
"Beijing melihat ASEAN sebagai zon penting bagi perdagangan dan pertukaran, khususnya dalam konteks pengasingan ekonomi AS yang kian meningkat," katanya, merujuk kepada tarif yang membebankan negara anggota ASEAN.
"Wang menyampaikan pandangan China mengenai kepentingan ASEAN dan meletakkan negaranya sebagai penyokong rantau ini," tambah beliau.
USAHA AS UNTUK MEMULIHKAN PENGARUH
Sejajar dengan pandangan Rowena, penganalisis Keselamatan dan Hubungan Antarabangsa Universiti Malaya (UM) Collins Chong Yew Keat berkata AMM kali ini menjadi platform bagi ASEAN untuk menegaskan kerelevanannya di tengah-tengah persaingan kuasa besar yang semakin sengit.
Kehadiran Rubio menggambarkan usaha Washington untuk melibatkan semula rantau ini secara konsisten dan memulihkan kepercayaan strategik.
Beliau menyifatkan ia sebagai usaha AS untuk menebus semula ruang yang hilang dan kembali menjadi rakan keselamatan serta ekonomi yang boleh dipercayai.
"Mesyuarat tahun ini menandakan titik perubahan dalam usaha AS untuk memulihkan kredibiliti dan menunjukkan sokongan yang boleh diharapkan terhadap peranan pusat ASEAN, terutama selepas beberapa tahun dasar diplomasi bersifat transaksi.
"Walaupun kebangkitan China lebih tersusun dan mantap, AS kini berusaha membuktikan komitmennya terhadap masa depan ASEAN," katanya.
Pengesahan Rubio terhadap prinsip ASEAN - berkecuali, autonomi serantau, dan kebebasan pelayaran - adalah signifikan, khususnya dalam konteks ketegangan di Laut China Selatan dan Selat Taiwan.
"Penekanan terhadap nilai bersama, perintah berasaskan undang-undang dan keterhubungan yang ditawarkan Rubio memberikan kontras yang diperlukan terhadap ketegasan China," tambahnya.
Namun, Collins berkata, ASEAN mesti mengimbangi penglibatan dengan kedua-dua kuasa tanpa menghakis perpaduan atau menjejaskan keneutralannya.
MALAYSIA SEBAGAI PENGHUBUNG DIPLOMATIK
Collins turut berkata, AMM tahun ini menguji kematangan strategik ASEAN dalam menghadapi ketidaktentuan persekitaran global. ASEAN nampaknya berjaya melalui ujian itu dengan baik.
Beliau berkata, mesej yang lebih jelas dari Washington serta penglibatan berterusan pada peringkat tertinggi mencerminkan kesedaran bahawa ketiadaan diplomatik sebelum ini telah mewujudkan kekosongan yang semakin diisi oleh China.
"ASEAN kini menjadi tumpuan untuk membuktikan bahawa ia kekal sebagai kuasa yang relevan dan bersatu padu di tengah-tengah kemunculan rangka kerja lain seperti Quad - pakatan keselamatan empat hala yang dianggotai Australia, India, Jepun dan AS - serta AUKUS, pakatan keselamatan tiga hala antara Australia, United Kingdom dan AS.
"Kini terdapat kesedaran di Washington bahawa ketidakselarasan telah menjejaskan kepercayaan di rantau ini," katanya.
Melihat ke hadapan, Collins berkata, kepimpinan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN bagi baki 2025 - khususnya menjelang sidang kemuncak akan datang bersama pemimpin rakan dialog, termasuk kemungkinan kehadiran Presiden AS Donald Trump - akan menjadi penentu dalam mengemudi ASEAN melalui cabaran serantau yang kompleks.
Tambahnya, Putrajaya memiliki kredibiliti diplomatik untuk bertindak sebagai perantara yang dipercayai dalam kalangan kuasa besar.
"Malaysia mesti tampil sebagai penghubung diplomatik untuk memastikan ASEAN kekal bersatu, sambil mempromosi kerjasama inklusif berasaskan peraturan bersama dengan semua kuasa besar.
"Kepemimpinan Malaysia amat penting untuk memperkukuh mekanisme ASEAN, meningkatkan daya tahan ekonomi dan menjalin kesepaduan strategik berasaskan saling menghormati dan autonomi," katanya.
Wang menyertai sesi utama sepanjang AMM, termasuk Mesyuarat ASEAN-China dan Mesyuarat ASEAN Campur Tiga (APT).
Rubio pula, dalam lawatan rasmi pertamanya ke Asia, menyertai Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN-AS serta mengadakan perbincangan dua hala dengan Wang di luar mesyuarat.
Mesyuarat itu yang berlangsung dari 8 hingga 11 Julai, diadakan di bawah Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025, dengan tema "Keterangkuman dan Kemampanan".
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami