MALAYSIA
AMM-58: ASEAN, Turkiye sepakat eratkan kerjasama dalam bidang strategik tertentu

Pemimpin ASEAN dan Turkiye bersetuju untuk mempereratkan lagi kerjasama dalam sektor utama seperti keselamatan politik; perdagangan dan ekonomi digital; pendidikan; pengurusan bencana dan pembangunan mampan, kata Mohamad. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Pemimpin ASEAN dan Turkiye pada Jumaat bersetuju untuk mempereratkan lagi kerjasama dalam sektor utama seperti keselamatan politik; perdagangan dan ekonomi digital; pendidikan; pengurusan bencana dan pembangunan mampan.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pembaharuan komitmen itu adalah selaras dengan dokumen Bidang Kerjasama Praktikal (PCA) 2024-2028 yang telah menggariskan rangka kerja yang berpandangan ke hadapan.
Dalam menyokong inisiatif strategik tersebut, Mohamad berkata, Malaysia sendiri bersedia untuk mengembangkan kerjasama dalam industri pertahanan dan pemindahan teknologi.
"Pengalaman Turkiye dalam bidang pentadbiran elektronik boleh menjadi sumber kepakaran yang hebat dalam memajukan integrasi digital, mempelbagaikan rantaian bekalan, dan membina daya tahan kolektif, serta membantu kita mengharungi cabaran geo-ekonomi semasa,” katanya lagi.Mohamad berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pembukaan untuk Mesyuarat Trilateral Malaysia, Sekretariat ASEAN dan Turkiye, sempena Mesyuarat Menteri-menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 dan Mesyuarat-mesyuarat Berkaitan, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini, pada Jumaat.
Selain Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025, turut mempengerusikan mesyuarat tersebut secara bersama ialah Menteri Luar Turkiye, Hakan Fidan dan Setiausaha Agung ASEAN, Dr Kao Kim Hourn.
Dalam perkembangan sama, Mohamad berkata, ekonomi serantau dijangka terus berkembang, dengan kerjasama melalui Forum Perniagaan dan Pelaburan Türkiye-ASEAN, serta sokongan Türkiye terhadap pembangunan PKS (Perusahaan Kecil dan Sederhana) dan perkongsian inovasi.
Dalam aspek sosio-budaya, beliau berkata, inisiatif seperti Program Biasiswa Bersama Türkiye-ASEAN, latihan untuk diplomat ASEAN, dan cadangan kerjasama dalam pendidikan teknikal dan vokasional serta pembangunan kemahiran digital, akan memperkukuh hubungan antara rakyat dan memupuk ikatan silang budaya yang berkekalan.
“Malaysia percaya bahawa nilai-nilai bersama antara ASEAN dan Türkiye telah menjadikan kedua-duanya sebagai rakan semula jadi dalam memperjuangkan multilateralisme, keamanan, kestabilan, kemakmuran, kesaksamaan, keadilan, dan kemanusiaan di pentas global,” katanya lagi.
Menyentuh mengenai konflik berlarutan yang menyaksikan penindasan Israel terhadap Palestine, Mohamad berkata, semua pihak harus menyokong usaha mencari penyelesaian yang tuntas.
“Sebagai anggota masyarakat antarabangsa yang berprinsip dan bertanggungjawab, kita harus bersatu suara dalam menyokong penyelesaian yang aman dan adil terhadap konflik di seluruh dunia, termasuk situasi genting di Gaza.
“Kita mesti menuntut agar Israel dipertanggungjawabkan atas pelanggaran berterusan terhadap undang-undang antarabangsa. Impuniti telah mendorongnya untuk menyerang negara lain, dan ia akan terus menggugat kestabilan rantau ini dan seterusnya jika tidak dikawal,” katanya lagi.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami