Anak-anak masih bertanya 'Ayah di mana?' - Isteri Amri Che Mat

Isteri Amri Che Mat, Norhayati Mohd Arifin berkata anak-anak mereka masih lagi tertanya-tanya di keberadaan ayah mereka.

Aktivist sosial, Amri Che Mat (kiri) bersama-sama anaknya ketika bercuti sebelum kehilangannya pada 24 November 2016. - Facebook/Norhayati Mohd Ariffin | Astro Awani
Hampir genap tiga tahun kehilangan aktivis sosial, Amri Che Mat.

Tiga tahun ini juga merupakan tahun yang paling gelap dan memeritkan dalam kehidupan isterinya, Norhayati Mohd Arifin.

Norhayati akui beliau dalam kebuntuan kerana masih tiada sebarang berita mengenai suaminya yang hilang tanpa jejak.

“Kami masih tertanya-tanya di mana suami saya. Anak-anak saya pun masih bertanya di mana ayah mereka.

“Adakah suami saya masih hidup atau sudah mati? Saya perlu tahu,” ujarnya.

BACA: 'Pulangkan semula suami saya' - Isteri Amri Che Mat

Norhayati yang merupakan seorang guru sekolah rendah meluahkan kesukaran yang dihadapi untuk menanggung semua tanggungjawab kewangan demi membesarkan anak-anaknya berseorangan tanpa suaminya di sisi.

“Anak-anak saya perlukan seorang ayah untuk teruskan hidup.

“Perbelanjaan yang saya perlu tanggung bukan mudah. Ia sungguh susah dengan kos sara hidup yang semakin meningkat.


Namun demi anak-anaknya, wanita ini tetap kental menempuhi kehidupan dan tidak pernah putus harapan.

Beliau tetap mengharapkan suaminya masih hidup dan akan pulang ke pangkuan keluarga agar dapat bersama-sama seperti dahulu.

Norhayati (kiri) tetap mengharapkan suaminya, Amri (kanan) masih hidup dan akan pulang ke pangkuan keluarga agar dapat bersama-sama seperti dahulu.

Sehingga kini, beliau tidak putus asa untuk memperjuangkan keadilan buat suaminya yang hilang sejak 24 November 2016.


“Kami berasa takut dan marah terhadap orang yang bertanggungjawab kerana sampai sekarang masih tidak dapat mencarinya.

“Saya berharap suami saya dijumpai dan orang yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan,” katanya lagi.

Pada Isnin, Norhayati memfailkan saman sivil terhadap kerajaan, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pendahulunya, Datuk Seri Zahid Hamidi dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Beliau juga menamakan beberapa bekas anggota dan pegawai polis termasuk dua bekas ketua polis negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Tan Sri Fuzi Harun serta bekas ketua penolong pengarah Bahagian Ancaman Ekstremis Sosial (E2) Bukit Aman, Datuk Awaluddin Jadid dalam saman yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Isnin.

Peguam cara Norhayati, Larissa Ann Louis dalam satu kenyataan berkata Norhayati menuntut pelbagai relif (reliefs), termasuk ganti rugi teladan dan ganti rugi teruk untuk kerugian yang dialaminya akibat tindakan polis.