Anak-anak pasangan Azizul Rahem Awaluddin dan Shalwati Nurshal yang masih ditahan bawah reman di Sweden atas tuduhan mendera kini telah diletakkan di bawah jagaan keluarga Muslim dari Malaysia yang juga merupakan pegawai kedutaan Malaysia di Stockholm.

Keempat-empat anak tersebut iaitu Aishah, Ammar, Adam dan Arif tiba di kedutaan Malaysia di Stockholm dan ditemukan dengan ibu saudara mereka, Noor Azilah Makhzan yang tiba dari Kuala Lumpur pada awal hari yang sama.

Timbalan Menteri Luar Datuk Hamzah Zainuddin turut berada di Stockholm atas arahan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bagi bertemu dengan Menteri Luar Sweden Frank Belgrafe untuk membincangkan kes memindahkan hak penjagaan anak-anak ini dari keluarga Sweden kepada keluarga Malaysia.

Di sebalik kejayaan usaha Wisma Putra untuk memindahkan hak penjagaan anak-anak tersebut berjaya, namun mereka tetap merindui ibubapa mereka.

Tahanan reman Azizul telah dilanjutkan 11 hari pada Khamis manakala pendengaran kes Shalwati pula akan berlangsung hari ini.