KUALA LUMPUR:Mangsa yang didakwa ditampar oleh seorang 'Datuk' dan seorang lagi lelaki di sebuah restoran pada Selasa lalu merupakan anak kepada individu yang turut bergelar Datuk.

Menurut akhbar Sin Chew Daily, Datuk Kwan Foh Kwai yang merupakan Timbalan Presiden Dewan Perhimpunan Cina Perak, mengesahkan bahawa anaknya merupakan individu yang ditampar dalam kejadian itu.

"Saya sangat kesal dengan kejadian ini. Kami telah membuat laporan pada malam yang sama setelah kejadian itu berlaku.

"Saya tidak akan menafikan bahawa itu adalah anak saya kerana saya tidak mahu melihat muat naik kenyataan yang tidak adil dibuat mengenai dia disebarkan dalam media sosial," katanya.

BACA: Ugut dan tampar pelanggan restoran, 'Datuk' ditahan reman dua hari

BACA: Video tular: Ugut dan tampar pelanggan restoran, 'Datuk' ditahan

BACA: Polis buru 'Datuk' pukul pelanggan restoran kerana disuruh jangan bising
Petikan laporan Sin Chew Daily berkait kenyataan Datuk Kwan Foh Kwai. - Foto Sin Chew Daily

Ketika ditanya mengenai kecederaan anaknya, Kwan enggan mendedahkan banyak maklumat, hanya mengatakan bahawa dia akan menyerahkan siasatan sepenuhnya kepada pihak polis.

Tambahnya, buat masa ini beliau tidak bercadang untuk memulakan sebarang tindakan undang-undang.

Kejadian itu dilaporkan berlaku di sebuah restoran di Petaling Jaya, beberapa jam sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mula dilaksakan.

Dua video, berdurasi 29 saat dan 51 saat yang menunjukkan kejadian yang berlaku itu telah tular di media sosial.

Menurut laporan awal polis, kedua-dua suspek juga menampar seorang pelayan.

Bagaimanapun, akhbar berbahasa Cina itu melaporkan bahawa suspek menampar teman wanita mangsa.

Dalam video berdurasi 29 saat itu, kedua-dua lelaki itu dilihat menampar mangsa yang tidak dikenali, dipercayai pengadu, sambil memberi isyarat agresif kepadanya.

Salah seorang dari mereka juga turut didakwa menampar seorang wanita ketika mereka hendak meninggalkan restoran.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Fadzil Ahmat dalam satu kenyataan semalam menyatakan bahawa pihaknya telah berjaya menahan dua suspek termasuk individu bergelar 'Datuk' itu.

"Polis akan mendapatkan perintah reman untuk menahan mereka dan menyiasat sama ada mereka terlibat dalam kegiatan gangsterisme," katanya.

Individu bergelar Datuk itu dikatakan mempunyai rekod polis sejak tahun 2019 akibat ugutan jenayah.