Seperti sambutan malam tahun baru di Kuala Lumpur sebelum ini, Dataran Merdeka malam tadi penuh sesak dengan orang ramai yang mahu menyambut kedatangan tahun baru dan menikmati persembahan konsert yang dianjurkan saban tahun.

Tetapi tahun ini keadaannya agak berbeza. Kempen oleh Gerakan Turun Kos Sara Hidup (TURUN), Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Jingga 13 dan Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) menyaksikan ribuan orang ikut sama berhimpun tetapi dengan tujuan yang lain.

Demo,turun

Menjelang pukul 10:30 malam, kumpulan yang memakai baju hitam menempatkan diri di sekitar Dataran Merdeka untuk membantah kenaikan kos sara hidup. Biarpun pihak polis membuat benteng sekatan, lebih kurang pukul 11:20 malam, kumpulan penunjuk perasaan itu berjaya melepaskan diri masuk ke tengah Dataran Merdeka tempat persembahan muzik sedang berlangsung.

Selepas melihat keadaan yang kacau, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur memutuskan untuk membatalkan acara sambutan. Menjelang tengah malam, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib, naik ke pentas untuk berucap bagi meredakan keadaan.

Demo,turun

Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Mohd Bukhairy Sofian, berkata hasrat mereka untuk berhimpun di Dataran Merdeka bukannya satu cubaan untuk menggulingkan kerajaan tetapi untuk meluahkan kemarahan rakyat terhadap peningkatan kos sara hidup dan harga barang.

Katanya, adalah wajar golongan anak muda dan mahasiswa yang mengetuai gerakan itu kerana merekalah yang paling merasai akibatnya kerana masih belum bekerja dan bergantung kepada pinjaman pelajaran serta bantuan ibu bapa.

Selepas menyanyi dan melaungkan slogan protes, kumpulan yang dianggarkan lebih kurang 3,000 orang itu beredar dengan aman lebih kurang pukul 1 pagi.

Pihak berkuasa sebelum ini memberi amaran bahawa perhimpunan itu tidak dibenarkan mengikut undang-undang.