Anak tiri CEO Cradle Fund Nazrin Hassan direman tujuh hari

Astro Awani
September 9, 2018 07:29 MYT
Dua anak tiri Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Sdn Bhd, Nazrin Hassan direman tujuh hari bermula hari ini. -Gambar fail
Dua anak tiri Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Sdn Bhd (Cradle Fund), Nazrin Hassan yang maut dalam kebakaran Jun lalu, ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan.
Perintah penahanan reman itu dikeluarkan Majistret Nor Ariffin Hisham di Mahkamah Majistret Petaling Jaya.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, permohonan reman terhadap remaja berusia 17 dan 14 tahun itu dibuat pada Ahad.
"Perintah reman terhadap kedua-dua suspek dibenarkan selama tujuh hari bermula 9 hingga 15 September ini bagi membantu siasatan kes berkenaan," katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini.
Terdahulu, kedua-dua remaja itu ditahan di sebuah rumah di Taman Tun Dr Ismail, kira-kira 4 petang Sabtu.
Difahamkan, pihak polis juga akan memohon untuk menyambung tempoh tahanan reman ibu mereka, esok.
Pada 4 September lalu, polis menahan isteri Nazrin dan bekas suaminya, kedua-duanya berusia 43 tahun, bagi membantu siasatan.
Dalam kejadian 14 Jun itu, Nazrin maut dalam kebakaran di rumahnya di Mutiara Homes, di Petaling Jaya.
Pada 3 Ogos lalu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat mengklasifikasikan kes kematian Nazrin sebagai kes bunuh selepas siasatan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia menemui kesan petrol di lokasi kebakaran.
BACA: Polis nafi anak tiri CEO Cradle Fund ditahan
BACA: Kronologi kes kematian CEO Cradle Fund Nazrin Hassan
BACA: Isteri CEO Cradle Fund Nazrin Hassan direman tujuh hari
BACA: Isteri CEO Cradle Nazrin Hassan kritik siasatan kematian suami
#anak tiri #cradle fund #Fadzil Ahmat #jenayah #Mazlan Mansor #Nazrin Hassan #petrol