ALOR SETAR:"Saya akan teruskan usaha arwah ayah dalam pengkajian serta mempertahankan sejarah negeri Kedah dan negara Malaysia."

Demikian jelas Wan Iskandar Zulkarnain Wan Shamsuddin, 57 tahun, anak tokoh sejarawan Kedah, Datuk Dr Wan Shamsuddin Mohd Yusof, yang meninggal dunia pada Sabtu.

Wan Shamsuddin, 88 tahun, menghembuskan nafas terakhir di Kedah Medical Centre (KMC) pada petang semalam, dipercayai kerana sakit tua.

Menurut Wan Iskandar Zulkarnain, seorang arkitek, ilmu serta pengalaman ketika bersama bapanya semasa hayat beliau akan digunakan untuk meneruskan perjuangan Allahyarham selama ini.

Katanya, arwah yang juga bekas pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia cawangan Kedah (PSMCK) sememangnya cintakan sejarah dan pernah berpesan supaya mempertahankan hasil kajiannya dalam sejarah negeri dan negara.

Malah, galeri yang dibina khas Allahyarham di hadapan rumahnya, diberi nama Teratak Hamka, turut akan dijadikan muzium memorial tentang penulisan serta perjuangan Allahyarham.

"Saya sebenarnya dalam dua tahun lepas sudah mula berkecimpung dalam bidang ini.

"Saya seorang arkitek, tetapi mungkin sebab selalu ikut bapa pergi mesyuarat dan dengar cerita-cerita sejarah di negeri Kedah ini, saya jadi berminat dan tertarik untuk mengikut jejak langkah beliau.

"Jadi, dua tahun lepas saya menyambung pengajian dalam Masters in Heritage and Conservation Management. Sesuailah. Apabila hendak bercerita dengannya, senang. Dia pun suka bercerita dengan saya.

"Ketika menyiapkan thesis saya, beliau banyak menolong. Kemudian, saya ditawarkan buat PhD baru-baru ini, bermula Oktober lepas.

"Jadi, insyaAllah kalau dah berjaya nanti, saya memang ikut jejak langkah dia," kata Wan Iskandar Zulkarnain.

Sementara itu, anak sulung Wan Shamsuddin, Wan Noor Ain, 64 tahun, menceritakan saat terakhir bersama arwah bapanya.

Menurutnya, dia membawa bapanya ke Kedah Medical Centre kira-kira jam 4.15 petang semalam apabila beliau mengalami sesak nafas dan sukar untuk makan.

Allahyarham meninggalkan balu Datin Latifah Hassan, 86 tahun, enam anak dan 11 cucu.

Jenazah akan disembahyangkan di Masjid Akar Peluru sebelum disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Akar Peluru selepas Zohor hari ini.