KUALA LUMPUR: ANCAMAN Israel untuk mengebom hospital di Gaza bercanggah dengan hak keselamatan manusia, kata pengasas dan Pengerusi Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (Centhra), Azril Mohd Amin.

Menurut beliau, tindakan sedemikian merupakan pelanggaran undang-undang kemanusiaan di peringkat antarabangsa.

“Kemudahan dan akses kepada perubatan semasa situasi konflik bersenjata adalah prinsip yang mesti dipegang.

“Sebagai warga global yang bertanggungjawab, kita tidak boleh berdiam diri dalam membiarkan perkara sedemikian berlaku,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, ancaman oleh rejim Zionis untuk mengebom hospital bukan sekadar pelanggaran undang-undang antarabangsa, tegasnya, meperlihatkan satu bentuk penghinaan kepada sikap empati dan belas kasihan manusiawi.

Justeru, beliau menyeru masyarakat antarabangsa untuk kembali menegakkan keadilan untuk memastikan perkara sedemikian tidak berlaku.

“Sewaktu konflik, kita mesti melindungi mereka yang paling terdedah, yang cedera, yang sakit dan
orang awam yang tidak bersalah yang mencari perlindungan di institusi (hospital) ini.

“Saya, dengan ini, dengan segera menyeru masyarakat antarabangsa untuk membela keadilan dan
akauntabiliti,” katanya lagi.

Tambah Azril, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) merupakan medium asas bagi hal ehwal keadilan antarabangsa dan seharusnya perlu mengambil peranan melakukan pendakwaan jenayah terhadap langkah Israel.

“Perlindungan hospital semasa konflik bukanlah masalah perbahasan undang-undang tetapi komitmen terhadap teras kemanusiaan. Kita tidak boleh membenarkan tempat perlindungan ini diancam atau diserang tanpa hukuman,” kata beliau lagi.