NATIONAL
Ancaman siber: Kes ‘ransomware’ melonjak 78 peratus

Cyber Games 2025 dianjurkan oleh Council of Europe (CoE) dan NACSA bersama International Police Organisation (INTERPOL) di Malaysia. - Gambar/ Shahir Omar/ Astro AWANI
KUALA LUMPUR : Ancaman siber seperti serangan perisian tebusan atau ‘ransomware’ melonjak 78 peratus pada suku keempat 2024, kata Menteri Digital Gobind Singh Deo.
Menurut Gobind, data daripada CyberSecurity Malaysia itu menunjukkan usaha mengatasi jenayah siber ini perlu diperkasakan termasuk keperluan untuk tindak balas rentas sempadan.
“Serangan perisian tebusan, pencerobohan data dan tipu daya dalam siber semakin meningkat… menurut data daripada CyberSecurity Malaysia, kes 'ransomware' melonjak sebanyak 78 peratus dalam suku keempat tahun 2024 berbanding suku sebelumnya
“Realiti ini menggariskan keperluan mendesak untuk tindak balas merentasi sempadan yang dapat diselaraskan untuk membendung jenayah siber,” katanya dalam ucapan yang disampaikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Digital, Fabian Bigar, semasa majlis pelancaran Cyber Games 2025 di sini, hari ini.Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) Megat Zuhairy Megat Tajuddin, berkata peningkatan peratusan tersebut selari dengan negara lain namun kerajaan akan terus bekerjasama diperingkat global.
“Dari segi persediaan kita, terutamanya kolaborasi dengan peringkat global, salah satunya Budapest Convention memberi kita ruang saluran 24 jam untuk kita mendapat kerjasama daripada agensi pihak berkuasa dari pelbagai negara
“Ia akan membantu kita untuk mengenal pasti dan juga bersama-sama untuk menangani isu-isu berkaitan dengan 'ransomware',” katanya pada sidang media.
Menurut beliau lagi, sektor digital juga telah menyumbang kepada 25.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang menyebabkan penjenayah siber mengambil kesempatan di atas kemajuan ini.
Dalam pada itu, buat julung kalinya, Cyber Games 2025 dianjurkan oleh Council of Europe (CoE) dan NACSA bersama International Police Organisation (INTERPOL) di Malaysia.
Seramai 120 peserta dari 40 negara terdiri daripada penganalisis, penyiasat dan pakar forensik akan bersaing selama empat hari dengan melibatkan diri dalam latihan kehidupan sebenar, menyelesaikan jenayah siber praktikal, bukti digital dan maklumat sumber terbuka (OSINT).
Turut hadir semasa acara tersebut ialah, Timbalan Ketua Pengarah Keselamatan Negara (Keselamatan Strategik) Majlis Keselamatan Negara (MKN) Komisioner Datuk Baharuddin Ahmad, Pengarah Direktorat Jenayah Siber, INTERPOL Neal Jetton dan Ketua Bahagian Jenayah Siber, Majlis Eropah Alexander Seger.
Media melaporkan, Malaysia merupakan negara kedua paling banyak terkesan diserang dengan perisian tebusan, di belakang Indonesia yang telah mencatatkan jumlah serangan setinggi 57,554 kes pada tahun lepas sahaja.
Pada Januari, NACSA dalam proses merangka Rang Undang-Undang (RUU) Jenayah Siber baharu yang dijangka dibentangkan pada Mesyuarat Ketiga Sesi Keempat Parlimen ke-15 pada Oktober ini bertujuan menggantikan Akta Jenayah Komputer 1997 yang kini dianggap lapuk dan tidak relevan dalam menangani ancaman siber moden.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami