Penggunaan Instagram, Facebook dan media sosial yang lain dalam kalangan pelajar seawal usia 10 hingga 15 tahun bukanlah sesuatu yang baharu dalam masyarakat di negara ini.

Satu kaji selidik mendapati sebahagian besar pelajar tidak mengambil langkah perlindungan secukupnya ketika berkomunikasi dalam talian dan melayari kandungan internet, sekali gus terdedah kepada risiko jenayah siber.

Melalui satu kaji selidik kebangsaan 2014 oleh Digi dan Cybersecurity Malaysia menerusi program Cybersafe mendapati secara purata 70 peratus pelajar di seluruh negara tidak prihatin mengenai pencerobohan terhadap privasi atau identiti orang yang berinteraksi dengan mereka.

Pengurus Program, Philip Ling yang mewakili Digi berkata, kajian yang dilakukan ke atas 14,000 pelajar itu turut mendapati 3,600 responden mengaku pernah dibuli sekurang-kurangnya sekali ketika melayari internet.

Kata Philip lagi, ibu bapa hanya mengawal disiplin penggunaan internet terhadap anak-anak dan tidak begitu memantau isi kandungan yang mereka layari.

Philip berkata, ketika ini perkara negatif yang berlaku di internet dan diperoleh oleh kanak-kanak bukanlah dari laman web tertentu, tetapi kebanyakannya adalah daripada mesej yang dihantar oleh rakan.

Sehubungan itu, Digi dan Cybersecurity Malaysia dengan kerjasama Unicef dan Childline Malaysia telah melancarkan sebuah buku panduan kepada ibu bapa untuk melakukan pengawalan internet terhadap anak-anak.

Buku tersebut disediakan dalam Bahasa Malaysia, Cina dan Inggeris dan boleh dimuat turun di www.safeinternet.my.