PUTRAJAYA: Kementerian Luar akan mengadakan perbincangan secara spesifik di peringkat kementerian itu, jika wujud sebarang kesan keselamatan terhadap penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI).

Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abd Kadir memberi respons berkenaan selepas ditanya berhubung tindakan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang dijangka mengadakan perbincangan mengenai kesan AI termasuk keamanan dan keselamatan global.

"Kita (Mesyuarat Majlis Perundingan Mengenai Dasar Luar Negara hari ini) membincangkan secara umum akan hal-hal yang berkaitan.

"Tetapi sekiranya kepada perkara berkaitan khusus (atau) perkara-perkara tertentu termasuk dalam konteks AI ini, ia akan dibincangkan di peringkat Wisma (Putra) sendiri," katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat CCFP Bilangan 2, yang turut disertai pakar akademik dan wakil-wakil kedutaan Malaysia di seluruh dunia di sini pada Isnin.

Terdahulu, media antarabangsa melaporkan Majlis Keselamatan PBB akan mengadakan perbincangan rasmi pertamanya mengenai sebarang kesan AI minggu ini, di New York.

Britain yang juga Presiden Majlis Keselamatan PBB pada masa sama menggesa dialog antarabangsa mengenai kesan AI terhadap keamanan dan keselamatan global.

Sehingga kini, pentadbiran seluruh dunia sedang mempertimbang cara untuk mengurangkan bahaya teknologi AI, yang boleh mengubah semula ekonomi global dan landskap keselamatan antarabangsa.

Jun lalu, Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres menyokong cadangan beberapa eksekutif kecerdasan buatan untuk mewujudkan badan pemerhati AI antarabangsa seperti Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).