PUTRAJAYA: Menyedari keperluan untuk meningkatkan kesedaran keselamatan siber dalam kalangan rakyat Malaysia, Astro Malaysia Holdings Berhad (Astro) dan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) melancarkan kerjasama menerusi penganjuran Astro-NACSA Coding Challenge 2024 (ANCC2024).

Diilhamkan daripada komitmen Astro dan NACSA untuk memupuk langkah keselamatan siber yang proaktif, pertandingan itu juga bertujuan untuk menormalisasikan navigasi digital yang selamat dalam ruang siber.

ANCC2024 membuka peluang kepada pelajar daripada institusi awam dan swasta untuk mengambil bahagian dalam mencipta penyelesaian inovatif bagi memerangi ancaman dalam talian.

"Mereka akan mempertingkatkan pengetahuan mereka dan kemudiannya akan dinilai. Anak-anak muda ini akan melihat bagaimana nak membangunkan satu rasa tanggungjawab dan penilaian sendiri.

"Walaupun program ini fokus pada aspek teknikal tetapi salah satu mesej tersembunyi yang ingin diterapkan ialah kita mahu mendidik dan meningkatkan kebertanggungjawaban generasi muda berhubung elemen keselamatan siber," kata Pengarah Dasar dan Kerjasama Antarabangsa NACSA, Shariffah Rashidah Syed Othman ketika ditemui selepas melancarkan program itu yang berlangsung serentak dengan persidangan 'Women in Cyber', pada Khamis.

Peserta akan ditugaskan untuk mengekod perisian pengesanan risiko keselamatan siber dengan pelbagai fungsi termasuk menganalisis tapak web, menandakan (flag) potensi ancaman seperti perisian merbahaya atau bahan yang tidak sesuai, serta memaklumkan pengguna tentang risiko yang berkaitan dengan melawati tapak web yang ditandakan sebelum membuat sebarang keputusan.

Penyertaan ANCC2024 sudah dibuka sehingga 28 Jun 2024, dan pemenang akan diumumkan pada Sidang Kemuncak Keselamatan Siber 2024 yang akan berlangsung Julai depan.

Mereka yang berminat boleh melayari laman web https://promotions.astro.com.my/details/ancc2024 untuk maklumat lanjut.