"Usah berlagak hero sepanjang proses Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) nanti."

Itulah amaran Ketua Polis Terengganu, Datuk Aidi Ismail kepada lebih 80 individu yang berisiko menimbulkan ketegangan sepanjang tempoh itu.

Menurut Aidi peringatan itu tidak tertumpu kepada individu yang dikenal pasti sahaja malahan merangkumi kesemua penyokong parti bertanding.

“Hasil risikan dan maklumat yang kita terima bahawa terdapat lagi individu-individu berpotensi untuk menimbulkan kekacauan dan provokasi semasa tempoh berkempen dan pilihan raya nanti," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.

Disamping itu tambah Aidi, pihak Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) telah berjumpa dengan sebahagian daripada individu terbabit bagi memberi nasihat dan amaran supaya tidak lakukan perkara yang boleh menimbulkan ketegangan dalam kalangan masyarakat.

Menurutnya, individu berisiko paling ramai dikesan di daerah Dungun, Besut dan Kuala Terengganu.

"Jumlah itu dijangka terus meningkat mencecah 100 orang menjelang pilihan raya nanti. Oleh itu, kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang dikesan melakukan kekacauan, sabotaj dan lain-lain lagi," katanya.