Skip to main content
Advertisement

Malaysia

Anggota risik APMM maut, tiga lagi cedera selepas bot peronda langgar tembok pesisir ketika operasi

Allahyarham Mohd Roshaimi Mohd Ridzuan, 41, dari Unit Perisikan Maritim Kedah dan Perlis maut ketika operasi diΒ Sungai Padang, perairan Kuala Perlis malam tadi. -Foto Facebook
Allahyarham Mohd Roshaimi Mohd Ridzuan, 41, dari Unit Perisikan Maritim Kedah dan Perlis maut ketika operasi diΒ Sungai Padang, perairan Kuala Perlis malam tadi. -Foto Facebook

Advertisement

KANGAR: Seorang anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) maut manakala tiga lagi rakannya cedera selepas bot peronda yang mereka naiki terlanggar tembok pesisir pantai ketika mengejar sebuah bot yang dipercayai membawa pendatang asing tanpa izin (PATI) di perairan Kuala Perlis awal pagi Selasa.

Kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 12.30 tengah malam di perairan Sungai Padang ketika bot peronda APMM sedang mengejar sebuah bot nelayan asing yang dipercayai membawa sembilan warga Myanmar.

Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop, mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu.

Beliau berkata siasatan lanjut berkaitan insiden berkenaan akan dikendalikan oleh APMM.

Mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Laskar Kanan Maritim (Teknikal) Mohd Roshaimi Mohd Ridzuan, 41, yang bertugas di Unit Perisikan, Ibu Pejabat Maritim Malaysia Negeri Kedah dan Perlis.

Kehilangan Allahyarham disedari selepas pemeriksaan jumlah anggota mendapati seorang kru tidak berada di dalam bot selepas pelanggaran itu.

Mayat mangsa yang tercampak ke laut kemudian ditemukan pasukan penyelamat kira-kira sejam selepas kejadian.

Allahyarham meninggalkan seorang balu serta dua anak masing-masing berusia 14 dan 11 tahun.

Susulan kejadian, Ketua Pengarah APMM bersama barisan kepimpinan tertinggi agensi berkenaan menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.
 


Jenazah Allahyarham dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Tuanku Fauziah (HTF) untuk proses bedah siasat sebelum dibawa pulang ke Kuala Nerang, Kedah bagi urusan pengebumian.

APMM dijadual mengadakan sidang media pada jam 3 petang bagi memberikan maklumat lanjut mengenai kejadian itu.

 

 

Must Watch Video

Advertisement