Skip to main content
Advertisement

Bisnes

Lebih 550 syarikat Eropah di Selangor jana RM51 bilion setahun

Pengerusi Persatuan Syarikat Jepun Tiga Air Kai, Sunao Shima (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kesatuan Eropah-Malaysia (EUROCHAM Malaysia), Kati Ferry ditemui dalam program Investment Insider pada Isnin. - Foto Astro AWANI
Pengerusi Persatuan Syarikat Jepun Tiga Air Kai, Sunao Shima (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kesatuan Eropah-Malaysia (EUROCHAM Malaysia), Kati Ferry ditemui dalam program Investment Insider pada Isnin. - Foto Astro AWANI

Advertisement

Ringkasan AI

  • Lebih 550 syarikat Eropah di Selangor menjana lebih RM51 bilion setahun, menunjukkan hubungan pelaburan kukuh dengan komuniti perniagaan Eropah.
  • Pelabur Eropah terus yakin terhadap Malaysia, dibuktikan dengan pelaburan baharu 300 juta euro oleh syarikat semikonduktor NXP di negara ini.
  • Invest Selangor membantu syarikat Jepun menangani isu perniagaan melalui dialog tahunan dan kerjasama dengan agensi kerajaan berkaitan.

KUALA LUMPUR: Lebih 550 syarikat Eropah yang beroperasi di Selangor menjana lebih RM51 bilion setahun, mencerminkan hubungan pelaburan yang kukuh antara negeri itu dengan komuniti perniagaan Eropah.

Ketua Pegawai Eksekutif Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kesatuan Eropah-Malaysia (EUROCHAM Malaysia), Kati Ferry berkata, lebih 1,800 syarikat Eropah turut beroperasi di seluruh Malaysia, sekali gus memperlihatkan keyakinan pelabur terhadap potensi ekonomi negara.

Menurutnya, keserasian nilai antara Kesatuan Eropah (EU) dan Malaysia menjadi antara faktor yang menyumbang kepada perkembangan syarikat Eropah di negara ini.

"Terdapat lebih 550 syarikat Eropah yang bertapak di Selangor dan lebih 1,800 syarikat Eropah di seluruh Malaysia.

"Syarikat-syarikat di Selangor menjana lebih RM51 bilion setahun. Kita dapat melihat bahawa Selangor menjadi tumpuan penting syarikat Eropah dan kerjasama ini telah menunjukkan hasil yang baik serta dijangka terus berkembang," katanya kepada Astro AWANI dalam program Investment Insider pada Isnin.

Mengulas lanjut, Ferry berkata, masih terdapat ruang untuk memperluas kerjasama pelaburan khususnya dalam sektor semikonduktor, pembuatan termaju, teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI).

Beliau berkata, keyakinan pelabur Eropah turut dapat dilihat menerusi pengumuman pelaburan baharu bernilai 300 juta euro oleh syarikat semikonduktor NXP bagi sebuah kemudahan baharu.

"Pada acara EU-Malaysia Business Day, NXP mengumumkan pelaburan baharu sebanyak 300 juta euro yang akan dilaksanakan di sebuah kemudahan baharu.

"Ini memperlihatkan keyakinan dan kepercayaan pelabur kerana syarikat yang sudah bertapak di sini bukan sahaja terus berkembang, malah meneruskan pelaburan mereka," tambahnya.

Dalam pada itu, Ferry turut mengenal pasti sektor digital dan AI sebagai antara bidang yang berpotensi untuk dikembangkan menerusi kepakaran syarikat Eropah seperti Ericsson, SAP dan Nokia.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Syarikat Jepun Tiga Air Kai, Sunao Shima berkata, Invest Selangor memainkan peranan penting dalam membantu komuniti perniagaan Jepun berurusan dengan pelbagai agensi kerajaan bagi menangani isu yang dihadapi.

Menurutnya, dialog tahunan yang dianjurkan Invest Selangor bersama Tiga Air Kai menjadi platform untuk syarikat Jepun mengemukakan isu berkaitan operasi perniagaan, sebelum disalurkan kepada agensi kerajaan yang berkenaan.

"Kaedah penyelesaian berbeza mengikut kes, namun saya percaya Invest Selangor dan agensi lain sentiasa berusaha merangka pelan serta strategi terbaik bagi menyelesaikan masalah kami.

"Invest Selangor turut mengadakan dialog tahunan bersama Tiga Air Kai. Berdasarkan isu yang kami kemukakan, mereka akan berhubung dengan pihak berkaitan seperti MBSA dan MIDA serta mengatur sesi perbincangan.

"Usaha ini banyak membantu ahli Tiga Air Kai menyelesaikan masalah melalui komunikasi yang lebih lancar dengan badan dan agensi kerajaan berkaitan," tambahnya.
 

Must Watch Video

Advertisement