Niat seorang wanita warga Vietnam yang ingin membunuh diri di jejantas Kampung Pulai, di sini, berjaya dihalang dengan pujukan anggota bomba.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, wanita terbabit yang dipercayai berusia sekitar 30 tahun cuba untuk terjun dari jejantas tersebut.

"Pihak kami dari Balai Bomba dan Penyelamat Gopeng menerima panggilan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 7.15 pagi.

"Setibanya jentera di lokasi kejadian didapati seorang mangsa warga Vietnam dalam cubaan untuk membunuh diri di atas jejantas.

"Bagaimanapun, hasil usaha anggota, dengan memujuk wanita tersebut, berjaya menghalangnya dari berbuat demikian," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.


Wanita warga Vietnam berjaya dihalang daripada meneruskan percubaan membunuh diri. - Foto JBPM Perak

Katanya lagi, anggota bomba kemudiannya membawa wanita itu turun dari jejantas dan seterusnya menyerahkan dia kepada pihak polis bagi tindakan lanjut.

Operasi yang diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan II, Nor Zamri Wahab itu tamat pada pukul 7.41 pagi.


Orang ramai dialu-alukan membuat aduan sekiranya berhadapan masalah ketidakstabilan emosi.



Mereka boleh berkongsi masalah atau dilema yang dihadapi kepada para sukarelawan terlatih di Befrienders.

Befrienders adalah sebuah pertubuhan bukan berasaskan keuntungan yang menyediakan khidmat sokongan emosi 24 jam sehari, 7 hari seminggu, kepada mereka yang mengalami kemurungan dan mempunyai niat untuk membunuh diri.

Befrienders boleh dihubungi di talian 03-7956 8145/8144 atau e-mel kepada [email protected] untuk bantuan.

Panggilan adalah percuma bermula 1 Ogos 2019.