Skip to main content

Malaysia

Anggota bomba didakwa cuai langgar kanak-kanak perempuan hingga cedera parah

Tertuduh Mohammad Shuhaili membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Fakhrul Razzi Abd Hamid. - Foto Bernama
Tertuduh Mohammad Shuhaili membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Fakhrul Razzi Abd Hamid. - Foto Bernama
Advertisement

BACHOK: Seorang anggota bomba mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memandu secara cuai sehingga melanggar seorang kanak-kanak perempuan pada 3 Jan.

Pengakuan Mohammad Shuhaili Shuib, 46, direkodkan di hadapan Majistret Fakhrul Razzi Abd Hamid.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Innova dengan cuai telah melanggar kanak-kanak perempuan berusia empat tahun sehingga mendatangkan kecederaan parah di kawasan parkir Sri Chalet Nipah di sini pada 10.45 pagi 3 Jan.

Advertisement

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 338 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Aiman Syahmi Yazid manakala lelaki itu diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Muhammad Habil Zainal Abidin.

Advertisement

Muhammad Aiman Syahmi menawarkan jaminan sebanyak RM5,000 namun Muhammad Habil merayu jumlah itu dikurangkan.

Mahkamah membenarkan jaminan RM2,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 3 Ogos untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement