Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengulangi bahawa kehilangan senjata bernilai RM1.3 juta Polis Di Raja Malaysia (PDRM) bukan berpunca daripada penyelewengan dan pecah amanah.

Menurutnya, ia berpunca daripada kecuaian pihak pegawai dan anggota polis.

Beliau telah mengarahkan PDRM untuk menyediakan Standard Operation Procedures atau SOP baru ketika menjalankan operasi bagi mengelakkan kehilangan senjata serta peralatan PDRM.

“Sebarangan kecuaian yang dilakukan ketika operasi oleh mana-mana pegawai atau anggota PDRM, tindakan tatatertib akan dilakukan.

“Begitu juga kita akan kenakan secaj kepada pegawai atau anggota yang menghilangkan senjata berkenaan kerana saya tidak mahu kejadian kehilangan ini berulang semula, masyarakat sekarang menambah kepercayaan kepada pihak polis saya yakin pihak polis atergriti yang tinggi oleh yang demikian saya tidak mahu dalam laporan audit tahun hadapan kejadian yang sama berulang.” tambah beliau.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melancarkan Tafsir Ar-Rahman dan lawatan kerja ke ibu pejabat Percetakan Nasional Malaysia Berhad siang tadi.

Menurutnya, anggota serta pegawai polis dikenakan tindakan tatatertib serta membayar balik nilai senjata atau peralatan yang hilang di atas kecuaian anggota terbabit.