Seorang anggota polis parah apabila ditembak dalam sekatan jalan raya di Paloh, Gua Musang awal hari ini.

L/Kpl Mohd Samsul Anuar Mohd Adnan, 27, yang bertugas di Balai Polis Pagoh kini dalam keadaan kritikal apabila tembakan di bahagian dada itu mengenai paru-parunya.

Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata sekatan jalan raya itu dibuat berikutan aduan daripada seorang mangsa samun di Gua Musang melibatkan wang tunai serta kereta BMW dan Honda Accord.

"Kira-kira pukul 1 pagi, dua kereta yang disyaki dicuri dan dipercayai dipandu kedua-dua lelaki terbabit cuba membuat pusingan U namun terbabas.

"Mereka keluar dari dua kereta yang terbabas itu dan ketika beberapa anggota cuba memberkas mereka, penyamun terbabit melepaskan tembakan yang mengenai dada mangsa," katanya kepada pemberita ketika ditemui di luar bilik bedah Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII).

Turut hadir Timbalan Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim.

"Kami harap anggota yang cedera ini melepasi tahap kritikal...kami akan kesan penjenayah itu dalam masa terdekat," katanya.

Abdul Khalid berkata polis kini giat memburu kedua-dua penyamun terbabit yang dipercayai melarikan diri dan bersembunyi di sebuah ladang kelapa sawit berhampiran tempat kejadian.

"Kami sedang mengepung kawasan ladang kelapa sawit itu dan meminta anggota Pasukan Gerakan Am untuk kesan penjenayah terbabit. Kami sudah mendapatkan balik kedua-dua kereta yang disamun (yang ditinggalkan selepas terbabas)," katanya.

Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 307 kerana cubaan membunuh.

Abdul Khalid berkata beliau akan mencadangkan kepada pengurusan tertinggi Polis Diraja Malaysia agar Mohd Samsul Anuar dinaikkan pangkat secara medan sebagai menghargai keberaniannya.

Sementara itu, Maisarah Kasim, 27, berkata beliau diberitahu mengenai kejadian yang menimpa suaminya itu kira-kira pukul 1.30 pagi oleh seorang anggota polis.

Beliau berkata suaminya sepatutnya tidak bertugas malam tadi kerana bercuti namun diarah bertugas pada kira-kira 12 tengah malam untuk mengadakan sekatan jalan raya di Gua Musang.

"Saya terima apa sahaja yang berlaku terhadap suami sebab dia berbakti kepada negara," katanya yang berdoa agar suaminya selamat menjalani pembedahan.