Tiga anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) diminta membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas didakwa disogok untuk menarik balik laporan polis terhadap seorang lelaki bergelar ‘Datuk Seri’ yang bertindak memukul mereka di Kampung Baru Ampang baru-baru ini.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, mereka juga perlu membuat dua laporan berbeza terhadap lelaki terbabit yang terlibat dalam kesalahan mencederakan dan menyogok.

"Ketiga-tiga anggota Rela yang telah dikasari oleh individu itu harus membuat laporan kepada SPRM sebagaimana yang disaran Ketua Pengarah Rela.

"Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyokong supaya siasatan rapi dibuat oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan SPRM terhadap dua kes berbeza ini bagi memberi pengajaran kepada individu terbabit," katanya semasa sidang media selepas merasmikan Kongres Kerangka Standard Bahasa Melayu (KSBM) di sini hari ini.

Pembangunan KSBM menentukan tahap pemerolehan dan penguasaan Bahasa Melayu bertujuan untuk mengukur kecekapan dan kemahiran penggunaan Bahasa Melayu di Malaysia.

Pembangunan KSBM itu adalah sebagai satu usaha utama dalam dasar memartabatkan Bahasa Melayu di negara ini.

Sebelum ini, tiga petugas Rela yang berusia antara 19 hingga 27 tahun dikatakan cedera di kepala, mata dan perut akibat dipukul seorang individu yang bergelar 'Datuk Seri'.

Kekecohan berlaku apabila seorang anggota Rela terbabit mengarahkan sebuah kereta Toyota Vellfire milik suspek dialihkan kerana mengganggu lalu lintas.

Lelaki itu kemudian marah, menepuk meja serta memaki petugas Rela terbabit sebelum mengugut untuk mencederakan mangsa.

Dalam perkembangan berasingan, Ahmad Zahid memberitahu kerajaan tidak menghalang kemasukan Ustaz Haslin Baharim dan Ismail Menk untuk memasuki negara ini seperti diumum Kementerian Dalam Negeri Singapura (MHA).

Katanya, ia merupakan keputusan negara jiran dan kerajaan melihat tiada sebarang isu melibatkan kedua-dua tokoh terbabit.