Seorang anggota tentera maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Felda Tebrau, di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Supt Ismail Dollah berkata, kejadian pada 6.30 pagi itu dipercayai berlaku selepas kenderaan Perodua Viva yang dipandu Sarjan Mohd Shariff Mohd Yusoff, 36, dari arah Ulu Tiram menghala Felda Ulu Tebrau hilang kawalan lalu melanggar Perodua Bezza dari arah bertentangan.

Katanya, pelanggaran itu menyebabkan Mohd Shariff yang bertugas di Kem Pulada, dekat Ulu Tiram, mengalami kecederaan parah di bahagian kepala manakala lelaki warga tempatan berusia 42 tahun yang memandu Perodua Bezza dipercayai patah bahu.

"Mohd Shariff cedera parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu Produa Bezza dibawa ke Hospital Sultan Ismail untuk menerima rawatan lanjut," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata setakat ini tiada saksi kejadian yang tampil membuat laporan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) APJ 1987. - BERNAMA