Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) akan berbincang dengan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) bagi meneliti kesan syarat baharu pinjaman Bank Negara Malaysia (Bank Negara) kepada penjawat awam.

Presidennya Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata perbincangan itu dijadualkan pada Selasa depan untuk kajian terperinci bersama Cuepacs berhubung syarat mengehadkan tempoh maksimum pinjaman peribadi selama 10 tahun dan pembiayaan pembelian rumah 35 tahun untuk penjawat awam.

"Angkasa akan mengadakan perbincangan dengan Cuepacs terlebih dahulu bagi mengkaji lebih mendalam kesan syarat baharu Bank Negara ini kepada kakitangan awam. Kemudian, kita akan buat keputusan secara bersama yang mana boleh dikemukakan kepada kerajaan nanti," katanya.

Abdul Fattah berpendapat syarat baharu itu akan memberi bebanan kepada penjawat sekiranya tempoh pinjaman berkenaan dihadkan kerana mereka perlu membuat potongan gaji dalam jumlah yang besar berbanding sebelum ini selain memberi kesan kepada prestasi kewangan koperasi di bawah Angkasa.

"Bagi saya tidak berbangkit isu kakitangan awam tidak membayar hutang pinjaman sebab pinjaman mereka terkawal berdasarkan slip gaji termasuk ansuran bulanan pinjaman dibuat melalui potongan gaji.

"Kebanyakan anggota koperasi kredit di bawah Angkasa terdiri daripada penjawat awam dan kira-kira 800,000 penjawat awam membuat pinjaman peribadi dengan koperasi. Koperasi-koperasi memberi pinjaman kira-kira RM4.84 bilion," katanya.

Namun, Abdul Fattah menyambut baik langkah Bank Negara untuk mengatasi masalah hutang isi rumah ketika ini tetapi berpendapat menetapkan tempoh terhad kepada penjawat awam membuat bayaran balik pinjaman adalah tidak wajar.

"Saya bersetuju dengan Bank Negara untuk kurangkan jumlah hutang rakyat Malaysia tetapi bagi saya, perlu tengok kembali syarat ini...sepatutnya bukan penjawat awam," katanya.

Pada 5 Julai lepas, Gabenor Bank Negara Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz mengumumkan bank pusat itu menetapkan tempoh maksimum pinjaman peribadi selama 10 tahun manakala pembiayaan pembelian rumah 35 tahun untuk penjawat awam yang bertujuan mengekang hutang isi rumah ketika ini yang berada pada paras 83 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).