MALAYSIA
Angkasa menuju era digital, ubah landskap koperasi - Abdul Fatah

Abdul Fattah berkata telah tiba masa untuk koperasi diiktiraf sebagai sektor ketiga dalam pembangunan sosioekonomi negara, selain sektor swasta dan kerajaan. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) kini berada di peringkat akhir perundingan untuk melabur dalam bank digital tempatan selepas tersenarai pendek dalam permohonan lesen bank digital pada 2020.
Ringkasan AI
- Pelaburan Dalam Bank Digital: Angkasa sedang dalam rundingan akhir untuk melabur dalam bank digital tempatan selepas gagal memperoleh lesen secara langsung pada 2020, dan dijangka akan menyertai sektor digital dan fintech tidak lama lagi.
- Pengiktirafan Koperasi: Presiden Angkasa menyeru agar koperasi diiktiraf sebagai sektor ketiga pembangunan negara, dan memaklumkan PBB telah mengisytiharkan 2025 sebagai Tahun Koperasi Antarabangsa sekali lagi selepas 2012.
- Perkembangan Koperasi di Malaysia: Sehingga hujung 2024, terdapat lebih 7.2 juta ahli dengan lebih 16,000 koperasi berdaftar; sambutan Bulan Koperasi Kebangsaan akan diadakan Julai ini dengan kemuncak Hari Koperasi Negara 2025 di Melaka.
"Kita sedang menunggu, mungkin dalam masa sebulan dua lagi, Angkasa akan menjadi sebahagian dan terlibat dalam bank digital serta fintech sekali," katanya semasa menjadi tetamu program Ruang Bicara terbitan Bernama TV malam tadi.
Abdul Fattah yang juga Naib Presiden Ikatan Koperasi Antarabangsa Asia dan Pasifik (ICAAP) berkata sekiranya perkara itu dapat direalisasikan, ia akan mengubah ekosistem koperasi terutamanya daripada aspek pembiayaan yang selama ini banyak bergantung kepada bank komersial dan koperasi kredit.
Beliau yang juga Presiden Pertubuhan Koperasi ASEAN (ACO) berkata telah tiba masa untuk koperasi diiktiraf sebagai sektor ketiga dalam pembangunan sosioekonomi negara, selain sektor swasta dan kerajaan.
Mengenai perkembangan gerakan koperasi di Malaysia, Abdul Fattah berkata hingga 31 Disember tahun lepas, seramai 7.2 ahli berdaftar dengan 16,284 koperasi dan yakin jumlah itu mungkin telah meningkat kepada 17,000 koperasi setakat bulan ini.
"Setiap tahun Suruhanjaya Koperasi, iaitu badan agensi kerajaan diberi tanggungjawab untuk mendaftar koperasi, bertanggungjawab mendaftar sekurang-kurangnya 1,000 koperasi. Ahli koperasi ini mempunyai kuasa pengguna yang besar, ada kuasa beli," katanya.
Abdul Fattah berkata sebagai mengiktiraf peranan koperasi, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengisytiharkan tahun 2025 sebagai Tahun Koperasi Antarabangsa buat kali kedua selepas 2012, bertemakan 'Cooperative Build a Better World'.
"Kalau koperasi tak penting, PBB tidak akan jadikan tahun ini sebagai tahun koperasi antarabangsa, dan tema itu memberikan makna bahawa koperasi membina kesejahteraan sejagat di semua peringkat," katanya.
Beliau berkata di Malaysia, Bulan Koperasi Kebangsaan diadakan sepanjang Julai ini, kemuncak sambutan adalah penganjuran Hari Koperasi Negara (HKN) 2025 yang akan didakan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh pada 23 hingga 23 Julai dan dijangka dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Abdul Fattah juga berkongsi Angkasa telah diiktiraf sebagai antara vendor yang menjayakan program Jualan Rahmah dan diberi kepercayaan oleh kerajaan untuk melaksanakan projek Sejati MADANI.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami