SABAK BERNAM: Pembangunan Zon Industri Perikanan Sungai Lang di sini akan dilaksanakan secara berfasa dalam usaha menjadikan Selangor hab industri pemprosesan perikanan lengkap dan memperkukuh rantaian nilai sektor tersebut di negeri itu.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata zon industri itu dijangka memberi nilai tambah kepada sektor perikanan melalui aktiviti pemprosesan lebih menyeluruh termasuk penghasilan produk hiliran seperti makanan berasaskan ikan yang akan bermula selewat-lewatnya lima tahun akan datang.
Advertisement
Beliau berkata pembangunan itu tidak hanya tertumpu kepada aktiviti penyimpanan atau pembekuan hasil laut, malah turut melibatkan penghasilan produk berasaskan makanan laut, khususnya berasaskan ikan.
“Ia sekali gus mewujudkan satu industri lengkap yang turut disokong sektor logistik dan pengedaran,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Peluncuran Zon Industri Perikanan Sungai Lang di sini hari ini.
Amirudin berkata zon itu juga berpotensi menjadi pusat pemprosesan hasil perikanan dari kawasan sekitar termasuk Sabak Bernam, Bagan Datuk dan Kuala Selangor.
“Berbeza dengan Projek Pelabuhan Pendaratan Bersepadu Selangor (SILP) di Sekinchan yang lebih berfokus kepada pusat pendaratan dan ekopelancongan, pembangunan di Sungai Lang akan menjadi hab industri pemprosesan perikanan melibatkan pelbagai jenis sumber termasuk ikan laut dan air tawar,” katanya.
Beliau berkata pelan induk pembangunan kawasan seluas kira-kira 240 hektar itu sedang dimuktamadkan dan projek itu dijangka membuka peluang pekerjaan serta merancakkan ekonomi setempat apabila beroperasi kelak.
Dalam pada itu, Amirudin berkata pelaksanaan projek itu memerlukan pelaburan awal kira-kira RM100 juta hingga RM200 juta bagi penyediaan infrastruktur asas seperti jalan, bekalan air dan elektrik bagi fasa awal pembangunan.
Beliau berkata projek yang dibangunkan menerusi inisiatif Kawasan Pembangunan Sabak Bernam (SABDA) dan pihak swasta itu turut disokong Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) bersama-sama pemaju serta pelabur berpotensi.
“Selari dengan agenda pembangunan mampan, zon ini akan mengguna pakai teknologi akuakultur moden dan amalan lestari bagi meningkatkan produktiviti serta memelihara ekosistem pesisir termasuk kawasan paya bakau dan biodiversiti marin,” katanya.
-- BERNAMA