BUTTERWORTH: Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) sedang mengesan anjing yang menyerang dua murid sekolah dalam kejadian yang berlaku di Taman Pekatra Indah, Simpang Ampat pada pagi Selasa.

Menerusi satu kenyataan, MBSP memaklumkan pihaknya telah menjalankan siasatan dan pemeriksaan di rumah pemilik haiwan itu pada hari sama selepas mendapat laporan kejadian.

Bagaimanapun jelas kenyataan itu, hasil siasatan awal mendapati anjing terbabit telah dipindahkan oleh pemilik ke pusat perlindungan haiwan di Butterworth.

"MBSP akan melaksanakan siasatan lanjut bagi mendapatkan maklumat terperinci mengenai lokasi sebenar anjing tersebut dan tindakan mengeluarkan kompaun menyebabkan kacau ganggu di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 kepada pemilik akan diambil," kata MBSP dalam kenyataan itu pada Rabu.

Sebelum ini tular dua video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang memaparkan insiden dua orang murid perempuan dikejar seekor anjing ketika mereka sedang berjalan kaki menuju ke sekolah dalam kejadian jam 7.27 pagi.

Video berdurasi 2 minit 6 saat serta 1 minit 18 saat itu turut memperlihatkan keadaan cemas apabila anjing berwarna putih tiba-tiba bertindak agresif sebaik keluar dari pagar sebuah rumah dan terus mengejar salah seorang mangsa.

Seorang lelaki yang dipercayai pemilik haiwan terbabit dilihat cuba menangkap anjing berkenaan dan menghalangnya dari terus mengejar mangsa namun usaha lelaki itu tidak berhasil.

Sehinggalah datang sebuah motosikal yang ditunggang seorang wanita tidak lama kemudian dan pemilik anjing itu dilihat seolah berjaya menenangkan haiwan peliharaannya dari terus mengejar mangsa.

Bagaimanapun keadaan tenang itu hanya seketika sebelum anjing berkenaan kembali agresif dengan mengejar dan mengigit murid perempuan terbabit.

Seorang penduduk berhampiran yang menyedari kejadian itu boleh dianggap penyelamat selepas dia pula bertindak mengejar anjing berkenaan dan menakutkan haiwan itu dengan sebatang kayu.

Aksi lelaki itu berjaya membuatkan anjing yang pada mulanya agresif mengejar mangsa lari ke kawasan lain sebelum berjaya menyelamatkan kedua-dua murid berkenaan.

Mereka kemudiannya dibawa dengan menaiki sebuah motosikal meninggalkan lokasi kejadian.

Difahamkan, kedua-dua mangsa bukan sahaja mengalami trauma malah salah seorang daripadanya cedera selepas dia dilihat beberapa kali terjatuh di atas jalan ketika cuba lari menyelamatkan diri.

Sementara itu, MBSP berkata mengenai kes gigitan anjing, perkara ini adalah dibawah kawalan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dan mangsa dinasihatkan untuk membuat rawatan dan pemeriksaan susulan di klinik atau hospital berhampiran.

Tambahnya, kes ini akan disalurkan kepada pihak JPV untuk tindakan lanjut di bawah Protokol Veterinar Malaysia. - Sinar Harian