GANGGUAN anjing liar bukan isu baharu, malah ia bagaikan tidak berkesudahan dan menjadi antara kebimbangan penduduk.

Lebih merisaukan lagi apabila anjing berkenaan didakwa mula bertindak ganas dengan mengejar individu yang melalui kawasan tersebut selain menganggu orang ramai yang beriadah dan turut mencederakan serta membunuh haiwan ternakan.

Menerusi Apa Khabar Rakyat minggu ini, wartawan Sinar Harian, Norafidah Assan menyingkap keluhan dan luahan penduduk berhubung isu tersebut yang berlaku di kawasan sekitar Kampung Bagan Pinang, Port Dickson.

Seorang penduduk Taman Dato’ Hj Abdul Samad, Kampung Bagan Pinang, Siti Rahmah Abdul Wahid, 40, menceritakan detik bagaimana dia bersama anaknya, Umar Atharizz Muhd Fadzlullah, 9, cedera selepas dikejar enam ekor anjing ketika keluar berjoging pada jam 7.15 pagi, 25 Januari lalu.

Katanya, ketika kejadian dia tidak menyedari kehadiran sekumpulan anjing berkenaan.

“Masa itu dekat padang bola, saya tidak perasan ada sekumpulan anjing berhampiran sebuah rumah di Jalan Pinang 5, tiba-tiba anjing berkenaan kejar kami.

“Saya lepaskan anak untuk dia selamatkan diri dahulu sebelum saya pula selamatkan diri, tetapi malangnya dalam keadaan yang kelam-kabut itu saya dan anak terjatuh sehingga mengalami luka di lutut dan siku,” katanya kepada Sinar Harian.

Jelasnya, berikutan itu satu laporan polis telah dibuat pada hari sama untuk tindakan lanjut daripada pihak bertanggungjawab bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

Seorang lagi penduduk, Sofian Hamsan, 41, berkata, empat ekor angsa peliharaannya mati dibunuh oleh sekumpulan anjing liar dalam kejadian tahun lalu.

“Anjing-anjing ini sudah merosakkan harta benda orang kampung termasuklah ternakan sebab anjing ini boleh dikatakan ada merayau-rayau setiap masa, subuh dan waktu malam. Kalau petang-petang itu penuh di kedai-kedai dan rumah orang.

“Saya berharap sangat akan ada satu tindakan tegas mengenai isu ini sebab bimbang kejadian tidak diingini berlaku terutamanya kanak-kanak yang nak balik mengaji,” ujarnya.

Penduduk yang mahu dikenali sebagai Mohamad, 34, pula berkata, kumpulan anjing liar itu kebiasaannya berkeliaran dekat kawasan padang pada waktu petang.

“Waktu lain saya tidak pasti, tetapi kadangkala ada dekat padang. Takut juga kalau kena kejar atau gigit,” ceritanya.


JPKKP PANJANGKAN ISU KEPADA MPPD

Sementara itu, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Kampung Bagan Pinang di sini sudah memanjangkan isu berkaitan anjing liar di kampung berkenaan kepada Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD).

Pengerusinya, Hasan Masuadi mengakui sejak kebelakangan ini terdapat banyak anjing liar berkeliaran dalam Kampung Bagan Pinang.

Katanya, keadaan ini menyebabkan terjadi beberapa gangguan antaranya anjing-anjing mengejar murid sekolah dan kanak-kanak yang mana ia boleh menyebabkan kecederaan.

“Anjing liar ini juga dipercayai membunuh ternakan seperti ayam, itik dan kucing. Tahun lalu saya terima aduan daripada orang kampung bahawa dua ekor angsanya telah dibunuh anjing liar tersebut.

“Bagi mengelak berlakunya beberapa kejadian yang tidak diingini, saya berharap pihak MPPD dapat membuat sesuatu bagi menghalau dan menghapuskan anjing liar ini,” tegasnya. - Sinar Harian