Tiada apa yang luar biasa pada pagi ini bagi seorang kerani, Marina Semion, 34, yang sedang menyiapkan sarapan di dapur rumah buat suami dan tiga anaknya yang masih kecil.

Namun semuanya berubah apabila dia merasakan siling rumahnya bergegar, lain daripada biasa.

"Awal pagi lepas masak sarapan, saya ada rasa bergegar. Ingatkan ada kucing berkejaran di atas siling seperti biasa. Tapi kali ini kesannya lain.

"Ketika itu saya rasa seperti tidak boleh hendak berdiri tegak. Gegaran makin terasa dan saya cuba seimbangkan tubuh dengan berpaut pada susur tangan di tangga,"ujarnya mengimbas semula kejadian pada pukul 7.15 pagi tadi.

Marina dan suaminya kebetulan berada di rumah kerana kakitangan kerajaan mendapat cuti khas hari ini di Ranau. Situasi seperti itu sama sekali tidak dijangkakan mereka sekeluarga.

"Dalam mengawal rasa panik, saya sempat melihat kedaan di luar rumah sepanjang 40 saat gegaran itu berlaku. Pokok-pokok bergoyang kuat.

"Anjing-anjing pula menyalak dan melolong bersahut-sahutan sementara kawanan burung terbang tanpa arah tujuan," jelasnya yang menambah beberapa barangan di rumahnya juga jatuh berselerak.

Marina tidak dapat berbuat apa-apa sewaktu berpaut di tangga tetapi dia tahu tiga anaknya yang terkejut daripada tidur sedang ditenteramkan suaminya.

"Mereka terkejut tetapi tidak menangis. Cuma yang paling bongsu berusia lima tahun minta didukung.

"Sejak tinggal di sini dari tahun 2011, sudah tiga kali mengalami kejadian gegaran seperti ini. Namun kali ini yang paling kuat," kata Marina.

Dia memberitahu, selepas gegaran berakhir barulah anak-anak menangis dan menunjukkan perasaan takut. Dia dan suami pula rasa pening dan mabuk.

Kawasan kejiranannya menjadi kecoh apabila penghuni rumah semua keluar untuk melihat kesan selepas gempa.

Antara yang kesan yang jelas adalah berlaku keretakan kecil di beberapa buah bangunan termasuk di sekolah berdekatan dengan kuarters kediamannya.

"Mujur di kawasan ini tidak ada yang cedera teruk, cuma saya kasihan apabila mengetahui nasib pendaki yang terkandas di puncak Gunung Kinabalu. Moga mereka dapat diselamatkan,"kata Marina.