Keadaan Anjung Tinjau di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang di hadkan hanya kepada keluarga dan waris penumpang pesawat MH370 semalam kini telah dibuka kepada orang awam.

Ahli keluarga yang tiba di lapangan terbang itu semalam sambil membawa pasport bersama mereka telah dibawa ke sebuah hotel di Putrajaya oleh Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS).

Pada awalnya, ahli keluarga yang ditemui Astro AWANI semalam, berkata mereka menjangkakan bahawa mereka akan dibawa ke satu lokasi dana mereka tidak begitu jelas dengan perancangan itu.

Namun, pada waktu ini mereka akan dibawa semula ke KLIA untuk menunggu informasi selanjutnya berkenaan nasib anggota keluarga mereka.

Dalam sidang media awal pagi tadi, Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam, Datuk Azharudin Abdul Rahman berkata operasi mencari dan menyelamat masih lagi diteruskan semenjak insiden itu dilaporkan.

Namun tiada apa yang ditemui dalam operasi pencarian sepanjang malam tadi.

Pesawat MH370 yang berkongsi kod penerbangan bersama China Southern Airlines telah berlepas dari KLIA pada jam 12.14 pagi semalam.

Walau bagaimanapun, segala komunikasi pesawat tersebut terputus kira-kira jam 2.40 pagi dan tiada sebarang isyarat atau panggilan kecemasan dilakukan sebelum itu.

Pesawat tersebut membawa 239 penumpang dan 38 daripadanya adalah warganegara Malaysia.

Ia sepatutnya tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing pada jam 6.30 pagi waktu tempatan.