Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa akan bertemu dengan ahli UMNO Sabah bagi melihat sendiri sentimen mereka terhadap parti itu.

Ini adalah ekoran tindakan bekas naib presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal keluar parti yang disusuli oleh laporan seramai 600 ahli UMNO daripada 100 cawangan di bahagian Batu Sapi turut keluar parti.

Annuar berkata sebahagian laporan yang diterima tidak menggambarkan keadaan sebenar di negeri itu.

“Pertamanya kita tidak menafikan bahawa mereka-mereka yang rapat dengan Datuk Shafie, tidak hanya berada di bahagian Semporna tetapi ada di beberapa bahagian dan mereka ini berkemungkinan akan membuat pendirian-pendirian yang tertentu.

“Ramai juga antara mereka mempunyai hubungan rapat dan peribadi dengan Datuk Shafie yang membuat keputusan untuk tidak mengikuti jejak langkah beliau.


“Tetapi ada juga sebahagian kecil yang sedang cuba dipengaruhi untuk mengikuti langkah beliau,” katanya kepada Astro AWANI.

Annuar berkata apa yang berlaku di Batu Sapi melibatkan nasib ketua bahagian yang memang dikenali mempunyai hubungan yang rapat dengan Shafie.

“Kita tahu dalam UMNO Sabah, setiap bahagian itu mempunyai jumlah cawangan yang besar. 300, ada yang sampai 400 cawangan.

“Jadi kalau disebut beberapa cawangan itu, ia tidak sama dengan gambaran yang ada di Semenanjung. Sebab itu, setakat ini apa yang dimaklumkan oleh Pengerusui Perhubungan Sabah, perkara itu sedang dipantau dan penilaian dibuat dari masa ke semasa.

“Tetapi pada keseluruhannya, keadaannya tidaklah serius,” katanya.

Shafie yang juga Ketua UMNO bahagian Semporna,mengumumkan keluar parti pada 4 Julai, di hadapan ribuan ahli UMNO dan penyokong beliau.

Beliau telah berkata, perjuangan UMNO pada hari ini sangat berbeza berbanding zaman dahulu.