KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu berada dalam posisi yang kukuh dalam Barisan Nasional, sebagai sebahagian perancangan dalam menghadapi Pilihan Raya Umum akan datang, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa.

Dalam catatan terbaharu di Facebooknya hari ini, Ahli Parlimen Ketereh itu berkata, kedudukan demikian adalah perlu bagi mengelakkan Ismail Sabri dianggap sebagai 'lame duck Prime Minister' yang seterusnya boleh mengakibatkan ketidakstabilan dalam kerajaan pimpinannya.

Atas sebab itu, Annuar berkata, beliau mengulangi cadangannya agar Ahli Parlimen Bera itu diangkat bukan sahaja sebagai Pengerusi BN tetapi juga sebagai Pengarah Jentera Pilihan Raya parti itu.

“Sekiranya beliau sendiri, setelah dinamakan sebagai calon dan bakal PM (Perdana Menteri) ke-10 oleh UMNO, dapat menakhodai bahtera BN sebagai Pengerusi, maka beliau dan Presiden Umno (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) bolehlah bergandingan dengan padu dan mantap bagi menjamin kemenangan saf UMNO, komponen BN dan lain-lain parti sahabat.

“Semua ini hanya boleh dilakukan dengan berkesan sekiranya Ismail Sabri sendiri memimpin BN dan bertindak sebagai Pengarah Utama PRU15 (Pilihan Raya Umum Ke-15),” katanya lagi.

Jika cadangan itu tidak direalisasikan, Annuar berkata, Ismail Sabri tidak lebih daripada membawa imej ‘bakal pengantin’ yang ijab dan kabulnya terletak pada imam dan wali serta bakal pasangan yang belum tentu menjadikan impian satu kenyataan.

Semalam, Annuar, yang juga bekas Setiausaha Agung BN mencadangkan agar Ismail Sabri menggantikan tempat Ahmad Zahid dan mengambil alih jawatan Pengerusi serta Pengarah Jentera Pilihan Raya BN daripada Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Cadangan itu dizahirkan beliau sebagai maklum balas kepada kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan bahawa Majlis Kerja Tertinggi UMNO pada Khamis sebulat suara setuju supaya Ismail Sabri menjadi calon Perdana Menteri seterusnya bagi menghadapi PRU15.

Mengulas lanjut, Annuar berkata, sekadar dicalonkan sebagai calon Perdana Menteri tidak membawa sebarang makna sekiranya parti gagal memenangi PRU dengan bilangan kerusi yang mencukupi untuk membentuk kerajaan sendiri.

“Dalam kemungkinan UMNO tidak berupaya memenangi sekurang kurangnya 112 kerusi secara solo), jawatan PM tidak boleh di tentukan oleh UMNO sahaja,sebaliknya perlu di tentukan bersama oleh komponen BN dan selanjutnya perlu mendapat sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat, yang datangnya dari pelbagai parti lain lagi.

“Ini bermakna Ismail Sabri ,setelah dinamakan calon PM UMNO, perlu memikul tanggungjawab mencari ‘the winning formula’ untuk parti. Ini bukan satu perkara mudah, apa lagi jika tanpa satu kedudukan yang kukuh dalam parti dan organisasi pilihan raya,” tegasnya lagi.

Annuar berkata, Ismail Sabri perlu memastikan kesiapsiagaan BN dari segi organisasi, jentera, kewangan, logistik dan lain-lain, sebelum beliau membubar Kerajaan Campuran pimpinannya sekarang untuk mendapat mandat baharu.

Jika keadaan itu tidak berlaku, Annuar menggambarkan akan berlaku senario ‘yang dikejar tak dapat, yang dikendung pula berciciran.

Kedua, tambah beliau lagi, Ismail Sabri perlu membuat perhitungan dan mencari ‘the winning formula’ terutama menentukan saf Ahli Parlimen UMNO yang mampu memenangkan cukup bilangan kerusi untuk membentuk kerajaan.

Ini, jelasnya, melibatkan pemilihan calon-calon PRU15 akan datang yang perlu berdiri bersama-sama beliau dalam kerajaan.

Yang ketiga, kata Annuar, Ismail Sabri perlu memikirkan ‘alliance’ (gabungan) yang sesuai bagi memastikan kemenangan BN.

Dan ini, jelasnya lagi, melibatkan keyakinan parti parti lain untuk memberi sokongan kepada Ahli Parlimen Bera itu sebagai Perdana Menteri.