IPOH: Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bersifat terbuka berhubung pengurniaan darjah kebesaran kepada ahli politik sempena Hari Keputeraan ke-67 baginda yang disambut hari ini.

Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Jeneral (B) Tan Sri Mohd Zahidi Zainuddin berkata, ia berbeza berbanding sekitar dua atau tiga tahun lalu.

Bagaimanapun, kata beliau, Sultan Nazrin juga mengambil maklum mengenai ada parti politik yang tidak mahu ahli mereka menerima sebarang darjah kebesaran.

“Ada juga parti politik yang telah mengeluarkan (kenyataan) secara terang-terang mengatakan mereka tidak mahu menerima (pingat).

“Jadi walaupun kita mengenal pasti jasa-jasa mereka, tetapi oleh kerana parti itu sendiri dengan secara lantang mengatakan bahawa mereka tidak mahu menerima sebarang darjah, bintang atau pingat, jadi Tuanku ikutlah,” katanya pada sidang media di Laman Seri Ridzuan, di sini, semalam.

Mohd Zahidi turut menjelaskan mengenai proses permohonan untuk anugerah itu tahun ini yang tidak lagi dibuat secara dalam talian.

Sebaliknya, kata beliau, permohonan itu dikemukakan melalui jabatan atau agensi yang berkenaan.

“Tahun ini kita buat perubahan sedikit dengan mengecilkan cadangan atau calon-calon yang hendak dikemukakan.

“Pada tahun-tahun lepas, kita telah membuat (permohonan) secara dalam talian tetapi kali ini, kita menetapkan garis panduan dan telah mengenal pasti tiap-tiap jabatan supaya mengemukakan (nama) mereka yang benar-benar telah memberi sumbangan kepada negeri dan juga daerah tempatan,” jelasnya.

Beliau turut memaklumkan, kebanyakan calon yang memohon hanya melaksanakan tugas seperti biasa, tidak lebih daripada itu.

“Inilah jawatankuasa (pemilihan) menilai, kalau lebih daripada tugas biasa, inilah yang dikenal pasti dan disenarai pendekkan,” tambahnya.

Baru-baru ini, Ketua Biro Dasar DAP Sabah, Datuk Chan Foong Hin menyerahkan keputusan kepada pucuk pimpinan parti itu berhubung tindakan terhadapnya mengenai isu polisi parti yang tidak menerima sebarang penganugerahan darjah kebesaran kepada ahli DAP.

Chan yang juga Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP menerima darjah kebesaran Panglima Gemilang Darjah Kinabalu yang membawa gelaran 'Datuk' sempena Hari Jadi Rasmi Ke-70 Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin, bulan lalu.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan berkata, beliau sedia maklum dengan polisi parti itu yang dilaksanakan sejak 2018.

Selain Chan, seorang lagi pemimpin DAP Sabah yang turut menerima darjah kebesaran sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri Luyang yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah, Datuk Phoong Jin Zhe.