TOKYO: Rakyat Malaysia di Jepun berpeluang bertemu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada majlis minum petang diaspora Malaysia yang diadakan di Hotel Imperial, di sini, pada Isnin.

Seramai 416 tetamu terdiri daripada pelajar dan individu yang bekerja dan menetap di Jepun hadir pada majlis itu.

Pada majlis itu, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz telah meluangkan masa untuk memberikan ucapan kepada tetamu yang hadir sementara menanti ketibaan Perdana Menteri dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Anwar dan Dr Wan Azizah tiba kemudian selepas menghadap Maharaja Naruhito dan Maharani Masako di Istana Imperial.

Perdana Menteri dalam ucapannya kepada rakyat Malaysia di Jepun menyentuh mengenai perkembangan di tanah air dan keperluan rakyat untuk mengubah minda dan membebaskan diri mereka daripada permusuhan kaum dan agama yang menjejaskan perpaduan.

"Hentikan permusuhan kaum dan agama dan gunakan kaum dan agama itu untuk memperkukuh hubungan. Dengan itu baru kita boleh bangunkan Malaysia baharu yang boleh kita banggakan sebagai sebuah negara yang penting dan utama di rantau kita," katanya.

Perdana Menteri juga ditanya mengenai kesulitan memperbaharui pasport kerana mereka perlu datang ke kedutaan di Tokyo (dari bandar lain di Jepun) dan apakah yang Malaysia telah lakukan untuk menangani perubahan iklim.

Mengenai isu pasport, Anwar berkata, beliau akan melihat perkara itu dan mengenai perubahan iklim, perkara itu telah ditangani antaranya menerusi Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).

Ketika ditanya oleh seorang pelajar pascasiswazah tajaan JPA apabila mereka pulang ke tanah air, mereka melihat diri mereka terlebih layak dan gaji mereka tidak sepadan dengan kelayakan, Anwar berkata, keadaan di Malaysia adalah tidak seburuk seperti yang disangka dan kerajaan sedang berusaha untuk meningkatkan pendapatan semua.

Seorang pelajar tajaan MARA pula menyuarakan kebimbangannya bahawa pelajar yang dihantar ke Jepun antaranya untuk mempelajari kebudayaan Jepun dan mempamerkan kebudayaan Malaysia tetapi kini tidak dapat direalisasikan kerana ramai yang memilih untuk menetap dan bekerja di Jepun selepas menamatkan pengajian.

Anwar berkata, mereka digalakkan untuk bekerja di luar negara terutama untuk membolehkan mereka belajar budaya kerja Jepun tetapi harus pulang dan menyumbang kepada negara bila tiba masanya.

Sementara itu, dalam sidang media pada majlis berkenaan, Anwar berkata, pengalaman beliau dan isteri menghadap Maharaja dan Maharani Jepun merupakan suatu memori yang indah.

Beliau berkata, pada awalnya sesi menghadap itu dirancang selama 20 minit tetapi dilanjutkan selepas Maharaja menunjukkan minat yang mendalam dalam pelbagai aspek mengenai Malaysia. - BERNAMA