KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan beliau telah menghubungi bekas Naib Presiden Amerika Syarikat, Al Gore, bagi bertukar pandangan mengenai cabaran perubahan iklim global, khususnya ketika Malaysia sedang berdepan situasi jerebu susulan kebakaran hutan di Indonesia.
Menerusi kenyataan yang dimuat naik di media sosial, Anwar berkata perbincangan tersebut turut menyentuh komitmen serta langkah yang sedang dilaksanakan Malaysia dalam mempercepat agenda peralihan tenaga negara.
Menurut beliau, usaha itu melibatkan peralihan daripada kebergantungan kepada bahan api fosil kepada penggunaan sumber tenaga yang lebih bersih dan mampan bagi menjamin kelestarian alam sekitar.
“Perbincangan menyentuh komitmen serta langkah yang sedang digerakkan Malaysia dalam melaksanakan peralihan tenaga, daripada kebergantungan kepada bahan api fosil kepada sumber tenaga yang lebih bersih dan mampan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata ikhtiar tersebut selaras dengan iltizam Kerajaan MADANI untuk membangunkan negara yang progresif dan berdaya tahan dari segi ekonomi, di samping bertanggungjawab dalam memelihara kelestarian alam demi kesejahteraan generasi akan datang.
Beliau turut menyampaikan jemputan kepada Al Gore untuk melawat Malaysia dalam masa terdekat bagi meneruskan perbincangan serta meneroka peluang kerjasama yang lebih bermakna.
"Lawatan itu diharap dapat membuka ruang kepada kedua-dua pihak untuk bekerjasama dalam mendepani cabaran perubahan iklim serta mempercepatkan pelaksanaan agenda peralihan tenaga negara.
"Langkah tersebut mencerminkan komitmen berterusan Malaysia dalam memperkukuh kerjasama antarabangsa berkaitan tindakan iklim dan pembangunan mampan, sejajar dengan usaha global menangani kesan perubahan iklim yang semakin mendesak," katanya lagi.
Anwar sebelum ini menzahirkan solidariti kepada rakyat Indonesia susulan bencana gunung berapi dan cabaran jerebu yang sedang dihadapi negara berkenaan.
Beliau berkata perkara itu disampaikan menerusi panggilan telefon kepada bekas Presiden Indonesia Joko Widodo, atau lebih dikenali sebagai Jokowi, yang kini berada di Pulau Pinang bagi menghadiri Dialog Keamanan Pulau Pinang.