MALAYSIA
Anwar cabar pembangkang bawa usul undi tidak percaya

Anwar berucap pada perjumpaan bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri, di Putrajaya hari ini. --fotoBERNAMA
PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau tidak menghalang sebarang perhimpunan atau kritikan terhadap kepimpinannya, termasuk tuntutan supaya beliau meletak jawatan.
Bagaimanapun beliau berkata proses tersebut perlu dilaksanakan secara demokratik sama ada melalui pilihan raya atau usul undi tidak percaya di Parlimen.
Beliau juga mencabar pembangkang supaya membawa usul undi tidak percaya di Dewan Rakyat hari ini sekiranya mereka mempunyai sokongan mencukupi untuk menukar Kerajaan MADANI yang dipimpinnya.
"Ada yang kata Anwar kena turun. Polis beri laporan, saya kata jalan (saya) tidak halang, tapi bila dia sebut kita akan paksa kerajaan bertukar, itu aneh bunyinya. (Dia) kata tidak mahu pilihan raya, saya kata tak apalah."Saya beritahu Speaker (Tan Sri Johari Abdul ) kalau ada usul hari ini (undian dijalankan). Hari ini hari pertama (sidang) Parlimen, saya tunggu usul undi tak percaya. Kalau ada majoriti, silakan. Jemaah Menteri (akan) berundur, itu sistem kita," katanya pada perjumpaan bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM), di sini hari ini.
Anwar turut mempersoal kemampuan pembangkang untuk memperoleh sokongan yang mencukupi bagi menjatuhkan kepimpinannnya sambil menegaskan bahawa Kerajaan MADANI masih memiliki sokongan kuat iaitu dua pertiga majoriti.
Perdana Menteri berkata sebarang usaha menjatuhkan kerajaan tanpa sokongan majoriti dan tidak dilakukan ketika pilihan raya jelas bercanggah dengan Perlembagaan.
"Kalau ada usul undi tidak percaya kena ada jumlah yang cukup, tapi dia tahu tidak boleh. Insya-Allah kita bertahan dengan kuat, dua pertiga majoriti dan kita tunggu pilihan raya, tapi tidak... (mereka) nak turun(kan) (Anwar) sekarang. Ini sudah langgar prinsip Perlembagaan dan undang-undang," katanya.
Anwar turut membidas naratif huru-hara yang sengaja dibangkitkan oleh pihak tertentu dan menganggapnya sebagai cubaan mencetuskan ketidakstabilan politik serta kebimbangan dalam kalangan rakyat.
"Saya ingatkan, sementara kerajaan bertolak ansur, kita akan bertegas sekiranya prinsip Perlembagaan dicabar. Saya harap keadaan kita aman. Nak dengki sebab apa, apa yang jadi," katanya.
Beliau juga menyatakan kebimbangan terhadap segelintir pihak yang sengaja mencetuskan huru-hara kononnya negara sudah tidak selamat dan rakyat hidup dalam keadaan terdesak.
Perdana Menteri berkata beliau terbuka terhadap pelbagai kritikan termasuk tohmahan tidak pandai mengurus negara dan patut diganti, tetapi beliau membidas desakan yang melanggar undang-undang, kerana ia memadamkan kestabilan politik serta ekonomi.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami