PERMATANG PAUH: Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa mendapat pelawaan daripada 15 kawasan Parlimen yang mahu beliau bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Selain mahukan beliau kembali semula ke Parlimen Permatang Pauh, pelawaan berkenaan, katanya, turut diterima dari kubu kuat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin iaitu di Pagoh.

“Ada dalam 15 kawasan minta saya bertanding, saya akan pertimbang di antara 15 itu (kawasan Parlimen) untuk bertanding, termasuk (di) Pagoh,” katanya selepas majlis santai Anwar Ibrahim bersama reformis dan penyokongnya di Taman Guar Perahu, di sini pada Sabtu.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai desakan segelintir penyokongnya yang mahu melihat Presiden PKR ini kembali bertanding di Permatang Pauh yang kini disandang anaknya, Nurul Izzah.