PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenal pasti 'kebocoran' kewangan antara RM3 bilion hingga RM4 bilion sejak dua bulan beliau berada di Kementerian Kewangan.

Dalam masa sama, beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, Kerajaan boleh menjimatkan sehingga RM10 bilion daripada kebocoran seumpama itu jika ada kerjasama terutama di kementerian penting itu. 

"Kita mengalami kebocoran yang tinggi dalam dua bulan saya di Kementerian Kewangan. Saya boleh kenal pasti antara RM 3 bilion ke RM 4 bilion boleh diselamatkan, yang bocor kepada parti, dan tokoh politik.

"Kalau kita boleh kerjasama terutama di MoF, mungkin kita boleh jimatkan sehingga RM10 bilion daripada kebocoran daripada terus berlaku dalam sistem negara kita. Kita mesti yakinkan pelabur domestik dan luar negara," katanya semasa berucap pada  Majlis Dialog Belanjawan 2023 di sini pada Selasa. 

Dalam pada itu, menjelang pembentangan Bajet 2023, Anwar berkata, dasar Kerajaan harus lebih tertumpu untuk mengupayakan industri kecil dan sederhana (IKS).

Ia berikutan katanya, industri itu mempunyai potensi besar selain melibatkan jumlah pekerja yang ramai.
 
"Mengajak mereka dan mengangkat keupayaan mereka untuk bersaing dengan syarikat besar. Kalau lihat umpamanya semua kontrak-kontrak besar termasuk penswastaan itu tertumpu kepada beberapa syarikat besar yang terpilih. Tak memungkinkan naiknya SMEs yang ada keupayaan kalau diberikan sedikit dukungan.

"Saya tekankan inilah dan diharap nanti akan dapat pandangan rakan-rakan bagaimana memastikan  kemampanan bandar umpamanya di Kuala Lumpur, saya fikir ialah menjana keupayaan kota dari segi kebersihan dan peluang kepada golongan menengah, SME dan tumpu kepada ekonomi penjaja yang tidak diberi tumpuan," ujarnya.