Skip to main content

Malaysia

Anwar komited perkukuh peranan Amanah Ikhtiar Malaysia

#NegeriSembilan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika hadir pada program Munajat Perdana di Dewan Orang Ramai Linggi, Port Dickson hari ini. Turut sama, calon Pakatan Harapan bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.32 Linggi Datuk Seri Aminuddin Harun.
Anwar berkata, pendekatan kerajaan bukan sekadar membicarakan soal kemiskinan, sebaliknya memberi peluang kepada rakyat untuk meningkatkan taraf hidup menerusi akses kepada modal dan bimbingan pengurusan yang sistematik. - Gambar/ Bernama
Advertisement

PORT DICKSON: Kerajaan MADANI akan terus memperkukuh peranan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) sebagai antara instrumen utama membasmi kemiskinan melalui penyediaan pembiayaan dan sokongan berterusan kepada golongan berpendapatan rendah, khususnya wanita.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendekatan kerajaan bukan sekadar membicarakan soal kemiskinan, sebaliknya memberi peluang kepada rakyat untuk meningkatkan taraf hidup menerusi akses kepada modal dan bimbingan pengurusan yang sistematik.

Menurut beliau, pengalaman AIM sejak penubuhannya membuktikan bahawa peluang dan sokongan yang tepat mampu mengubah kehidupan golongan miskin, terutama usahawan wanita yang menjadi kelompok terbesar penerima manfaat program berkenaan.

“Oleh kerana Amanah Ikhtiar ini satu badan yang telah terbukti dan memang tolong jadi sebab itulah kita bagi RM200 juta.

“Kemudian, saya balik 2022 (memimpin negara), dalam masa sebulan, saya panggil Amanah Ikhtiar. Keadaannya macam ini. Berapa peruntukan yang ada? Maka saya putuskan permulaan, supaya pengurusan dia lebih cekap, bagi dulu RM10 juta. Tahun berikutnya RM100 juta. Tahun berikutnya RM200 juta. Dan akhirnya RM230 juta.

“Negeri Sembilan masa musim-musim ini, semua orang turun janji. Nak bagi itu, bagi ini. Saya bukan datang nak janji. Saya datang bagi tahu. 2023 lagi kita dah bagi. 2024, 2025. Bukan sebab pilihan raya Negeri Sembilan, ini dia dasar Kerajaan Madani yang saya pimpin,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Majlis Perasmian Keluarga Sahabat Usahawan Madani Negeri Sembilan, AIM, di sini, pada Jumaat.

Dalam pada itu, Anwar berkata kerajaan akan terus memberi perhatian kepada AIM dalam Belanjawan yang akan datang kerana agensi itu terbukti berjaya membantu golongan sasar secara berkesan.

“Jaga Amanah Ikhtiar ini baik-baik, jayakan, dan selagi saya Insya-Allah ada amanah memandu kerajaan ini, saya tidak akan lupa perananAmanah Ikhtiar. Dalam tiap belanjawan, saya akan bagi perhatian, saya akan tingkatkan kerjasama dan bantuan untuk Amanah Ikhtiar,” katanya lagi.

Must Watch Video

Advertisement