Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan sahaja pandai berpidato menyakinkan rakyat malah beliau memiliki bakat terpendam apabila memperagakan rentak tarian ala pelakon lagenda filem Tamil, MGR, pada majlis Malam Kebudayaan India di Bukit Pelanduk, di sini, malam tadi.

Calon Pakatan Harapan (PH) Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson itu menyajikan tarian itu hampir tiga minit dengan iringan penghibur tempatan yang mendendangkan lagu daripada filem lakonan MG Ramachandran (MGR) di Dewan Orang Ramai Kampung India, di situ.

Hampir 500 penduduk setempat yang hadir pada program kempen PRK itu teruja dengan aksi Ketua Umum PKR itu serta memberi tepukan gemuruh.

Majlis tersebut hadiri oleh isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. yang juga Presiden PKR dan Timbalan Perdana Menteri serta bekas anggota Parlimen Port Dickson, Datuk Danyal Balagopal Abdullah.

"Malam ini saya gembira sikit, MGR punya lagu saya memang boleh menari dan hafal sedikit lirik," kata Anwar yang berucap selepas 'persembahannya' itu.

Dalam pada itu, Anwar turut menyeru masyarakat setempat untuk keluar beramai-ramai pada hari pengundian 13 Okt nanti bagi memberi kemenangan dengan majoriti yang besar kepadanya.

Katanya, dalam tiga pilihan raya kecil sebelum ini di Selangor jumlah keluar mengundi sangat rendah dan keadaan sama tidak harus berulang di Port Dickson.

Sementara itu, Dr Wan Azizah, yang turut berucap pada majlis itu, berkata PRK Port Dickson adalah peluang untuk Anwar kembali ke Parlimen selepas dinafikan hak itu sejak sekian lama.

Katanya, negara memerlukan seorang pemimpin seperti Anwar yang amat memahami erti kesusahan yang dihadapi oleh rakyat.

"Dia mahu menawarkan khidmat untuk negara ini walaupun sebelum ini dia mendapat banyak tawaran kerjaya di luar negara tetapi dia memilih untuk kekal di negara ini kerana mahu berkhidmat kepada rakyat dan negara," katanya.

Kerusi Parlimen Port Dickson dikosongkan oleh Danyal pada 12 Sept lepas bagi memberi laluan kepada Anwar untuk kembali semula ke Dewan Rakyat.

-- BERNAMA