Ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata defisit Malaysia bagi tahun 2014 berkemungkinan akan terus melambung, jika berdasarkan trend tahunan di bawah Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurutnya, ini kerana perbelanjaan unjuran dan perbelanjaan sebenar dalam beberapa tahun lepas telah berada di purata bawah jangkaan 7 peratus.

“Ini bermakna tahap defisit negara bagi tahun 2014 akan meningkat kepada RM59 bilion. Terdapat kemungkinan besar bahawa defisit akan meningkat melebihi 3.5 peratus daripada KDNK bagi 2014,” kata Anwar ketika membahaskan Bajet 2014 di Dewan Rakyat hari ini.

Anggota Parlimen Permatang Pauh itu turut menyoal jika angka bagi unjuran untuk 2014 perlu dipercayai kerana dakwanya setiap kali anggaran dibuat, ia akan melebihi perbelanjaan sebenar sehingga kerajaan terpaksa membentangkan rang undang-undang perbekalan tambahan.

Beliau menganggarkan setiap perbelanjaan operasi bagi 2014 akan meningkat kepada sekurang-kurangnya 10 peratus, iaitu RM22 bilion yang membawa jumlah perbelanjaan operasi menjadi RM240 bilion.

Kata Anwar, menurut maklumat data Kementerian Kewangan dalam Laporan Ekonomi tahunannya, ia jelas menunjukkan bahawa perbelanjaan operasi telah meningkat tahun demi tahun sejak 2010.

Pada 2010, perbelanjaan operasinya adalah RM151.6 bilion, RM182.6 pada 2011, RM205.5 bilion pada 2012 dan RM216.2 pada 2013.

“Secara puratanya, kadar pertumbuhan bagi setiap tahun adalah RM22 bilion, iaitu 13 peratus,” jelasnya.

Tambahnya, purata perbelanjaan kerajaan sebanyak 9 peratus juga membimbangkan ketika ekonomi sedang berkembang pada tahap 4 hingga 5 peratus setiap tahun.

Katanya, kadar perbelanjaan itu mengatasi kadar pertumbuhan ekonomi dan ini akan membawa negara kepada keadaan yang lebih buruk.