PERMATANG PAUH: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyangkal dakwaan Kerajaan Persekutuan menindas mana-mana negeri dalam soal penyaluran peruntukan mahupun pembangunan termasuk dalam isu pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP), di Kedah.

Anwar berkata cadangan pembinaan lapangan terbang memerlukan kajian yang teliti sebelum boleh dilaksanakan kerana ia melibatkan beberapa aspek penting terutamanya keselamatan negara selain perlu melalui prosedur dan peraturan yang tertentu.

"Perlu tanya TUDM (Tentera Udara Diraja Malaysia), boleh lepas atau tidak zon penerbangan ... ada yang kata Tan Sri Syed Mokhtar (Albukhary) akan bayar (projek pembinaan KXP) dan saya tanya dia kalau nak buat kenapa tak beritahu saya.

"Syed Mokhtar jawab kepada saya, abang, saya tiada cadangan nak buat lapangan terbang, ada banyak kerja dah.

"Lapangan terbang ini bukan boleh bagi senang-senang nak buat...ia sentuh soal keselamatan negara, kalau nak jadi pemimpin kena reti sikit, kena ngaji lebih daripada orang lain," kata Anwar pada program Minum Petang bersama penduduk Kampung Sama Gagah, dekat sini hari ini.

Sebelum ini, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dilapor berkata Anwar harus mengetepikan "kepentingan peribadinya" dan mempercepatkan kelulusan pembinaan KXP.

Menurut Muhammad Sanusi, beliau telah berusaha sedaya upaya untuk merealisasikan projek itu yang terletak di dalam perbandaran Kedah Aerotropolis.

-- BERNAMA