PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan generasi kini agar menghayati bahawa kebebasan, keamanan dan kemakmuran negara dicapai hasil pengorbanan pasukan keselamatan mempertahankan tanah air.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang membawakan kembali kisah “Darah Pahlawan Ulu Legong” pada Istiadat Perbarisan Sempena Sambutan Hari Pahlawan Negara 2026 di Dataran Pahlawan Negara, hari ini.
“Persembahan yang sangat menarik, mengesankan dan menyayat hati, kita terharu (ini) bukan sekadar drama.
“Kita (perlu) ingat dan kenang pengorbanan (perwira). Generasi kini harus ingat bahawa negara ini bebas, merdeka, aman dan makmur kerana perkhidmatan dan pengorbanan pasukan pertahanan,” kata beliau selepas Istiadat Perbarisan itu di sini hari ini, yang turut dihadiri isteri beliau Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Yang turut hadir, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Malek Razak Sulaiman dan Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Khalid Ismail.