Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan sokongannya terhadap usaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk mendapatkan dana daripada Kerajaan Pusat bagi membiayai sebahagian projek Pelan Induk Pengangkutan (PIP) di negeri itu.

Beliau berkata, permohonan itu penting bagi membolehkan kerajaan negeri mengkaji semula saiz dan skala projek tambak laut di perairan selatan (PSR) di Pulau Pinang yang membentuk tiga buah pulau buatan.

Pada masa sama, Ahli Parlimen Port Dickson itu amat berbesar hati dengan kesediaan Ketua Menteri Chow Kon Yeow untuk mengkaji semula saiz dan skala projek tambak laut yang disifatkan turut mengambil kira keluhan masyarakat, khususnya golongan nelayan.

"Saya telah mendengar kesediaan untuk terus berbincang, tetapi projek terpaksa diteruskan. Saya tidak ada bantahan atau pandangan sebaliknya, tetapi sama ada ia boleh dibiayai dari sumber lain oleh kerajaan persekutuan atau tidak, itu akan kita runding untuk dapat perhatian lebih dalam hal ini.

"Di peringkat PKR, saya telah minta Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman dan barisan Exco PKR untuk melihat dan mendengar keluhan nelayan serta komuniti yang terlibat dalam projek ini dan kemukakan, dalam proses dalaman untuk dipertimbangkan," kata Anwar.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mendengar taklimat berhubung projek berkenaan daripada Chow serta syarikat pemaju tambak laut, Konsortium SRS, di pejabat Ketua Menteri di Komtar, pada Khamis.

Taklimat itu susulan perjumpaan Anwar bersama lebih 200 nelayan di Teluk Kumbar pada 13 Julai lalu yang bimbang dengan nasib serta masa depan mereka ekoran rancangan projek tambak laut tersebut.

BACA: Projek tambak laut: Persatuan nelayan bantah, tidak mahu pampasan

BACA: Projek tambak laut bentuk tiga pulau buatan selatan Pulau Pinang dilulus MPFN

Dalam pada itu, Chow berkata, pihaknya berharap mendapat pembiayaan penuh daripada Kerajaan Pusat bagi sekurang-kurangnya dua projek keutamaan di bawah PIP iaitu pembinaan transit aliran ringan (LRT) dan projek lebuh raya Pan Island Link (PIL).

Menurutnya, kedua-dua projek itu dijangka menelan kos hampir RM20 bilion dan pihaknya akan memohon secara rasmi kepada Kerajaan Pusat dalam tempoh terdekat.

Tambah beliau, sekiranya permohonan dana daripada Kerajaan Pusat itu diluluskan atau kerajaan negeri berjaya mendapatkan dana daripada sumber lain, pihaknya bersedia menimbang semula projek tambak laut berkenaan dari segi skala dan saiz.

"Exco pada minggu lepas memutuskan secara rasminya akan menulis kepada kerajaan persekutuan bagi memohon peruntukan untuk melaksanakannya, keutamaan adalah LRT PIL.

"Kalau dijadikan projek persekutuan, tambakan laut akan dilihat semula tentang skalanya, saiznya, tempohnya dan sebagainya. Itulah kesimpulan petang ini. Sebagai permulaan, satu pasukan akan berunding dengan nelayan untuk mengutip statistik yang perlu," kata Chow.

BACA: Projek tambak laut: Kerajaan Pulau Pinang akan beri taklimat kepada Anwar

BACA: Tambak laut Pulau Pinang: PM kaji bantahan nelayan

Bagaimanapun, katanya, masih terlalu awal untuk pihaknya menjadikan projek itu sebagai projek kerajaan persekutuan.

Kerajaan Pulau Pinang ketika ini merancang menambak laut seluas kira-kira 1,800 hektar di Permatang Damar Laut bagi membentuk tiga pulau buatan untuk dijual bagi mencari dana membiayai projek PIP yang menelan kos keseluruhan kira-kira RM46 bilion.