KUALA LUMPUR: Kerajaan akan melaksanakan semua yang diperlukan untuk memacu pertumbuhan inklusif dan mampan dalam ekonomi terbuka yang menghargai aliran kewangan bebas, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bagi menggalakkan lagi pertumbuhan domestik, beliau berkata Kabinet akan mempercepatkan pelaksanaan projek kerajaan dan memudahkan kelulusan perniagaan seperti permohonan untuk ekspatriat mahir.

Di sebalik pelbagai cabaran yang diwarisi oleh kerajaan, katanya petunjuk ekonomi awal menunjukkan bahawa dasar fiskal kerajaan dan langkah-langkah daripada Belanjawan 2023 membuahkan hasil.

Antaranya ialah Malaysia mencapai pertumbuhan kukuh sebanyak 5.6 peratus pada suku pertama 2023 (berbanding unjuran 2023 sebanyak 4 peratus hingga 5 peratus) dan kadar pengangguran yang berkurangan kepada 3.5 peratus (berbanding paras tertinggi 5.2 peratus pada Mei 2020), katanya pada pelancaran Program Graduan Pasaran Modal (CMGP) di Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) di sini hari ini.

Pelaburan Malaysia yang diluluskan pada suku pertama 2023 mencecah RM71 bilion, meningkat 60 peratus daripada RM45 bilion pada suku pertama 2022.

Ini disokong oleh minat pelaburan yang tinggi daripada, antara lainnya, Amazon Web Services, Tesla EV, Geely/Proton Automotive City di Tanjung Malim dan Ronsheng Petrochemicals di Pengerang.

Malah, aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) pada 2022 telah naik kepada RM74.6 bilion berbanding RM50.4 bilion pada tahun sebelumnya.

Pengekalan penarafan kredit oleh Fitch dan Moody's pada awal tahun ini turut mencerminkan keyakinan mereka terhadap kesungguhan kerajaan untuk mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi, kata Anwar, yang juga Menteri Kewangan.

"Fakta ini memberi saya harapan. Kita masih belum keluar daripada kesukaran, terutamanya dengan ketidaktentuan ekonomi global tetapi saya optimis bahawa kita berada di landasan yang tepat untuk pertumbuhan ekonomi," katanya.



Pertumbuhan bakat penting untuk masa depan ekonomi

Dalam mengumumkan pelancaran nama baharu CMGP yang akan dikenali sebagai "InvestED", Perdana Menteri berkata tenaga kerja yang berkemahiran tinggi dan berpengetahuan luas, terutamanya dalam pasaran modal adalah penting untuk ekonomi mampan.

"Kita perlu ketokohan tempatan yang berupaya memahami kerumitan pasaran, menjangka trend dan perubahan serta menyediakan penyelesaian inovatif pada setiap rintangan pasaran termasuk kewangan Islam.

"Dengan menyediakan peluang mengembangkan kemahiran dan pengetahuan dalam industri pasaran modal kepada graduan muda, program ini berupaya membina asas yang kukuh untuk pertumbuhan ekonomi masa depan Malaysia," kata Perdana Menteri.

Oleh itu, katanya InvestED akan berperanan sebagai inisiatif unik yang menyatukan sektor kerajaan dan swasta untuk mewujudkan platform bagi kedua-dua pihak graduan dan majikan.

"Saya difahamkan, sebanyak 9,000 mahasiswa akan meraih manfaat pendedahan kepada peluang pekerjaan dalam industri pasaran modal dengan 600 orang akan terjamin mendapat pekerjaan dalam masa tiga tahun," katanya.

Perdana Menteri yakin ini boleh dipertingkatkan lagi melalui penyertaan lebih banyak pemain industri yang bekerjasama dengan universiti.

"Saudari dan saudari bukan sahaja akan mendapat pengetahuan dan kemahiran yang berharga tetapi juga akan menyumbang kepada pertumbuhan dan pembangunan negara kita.

"Pada masa yang sama, saya berharap program seumpama ini turut membantu pelajar daripada keluarga susah supaya mereka tidak tertinggal meraih manfaat peluang pekerjaan yang lebih baik.

"Ini cukup penting dan selaras dengan hasrat Malaysia MADANI," katanya.

-- BERNAMA