KUALA LUMPUR: Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mempertahankan kuasa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam menentukan tarikh Pilihan Raya Negeri (PRN), susulan kritikan terhadap keputusan mengadakan PRN Johor dan Negeri Sembilan secara berasingan.
Beliau berkata, penetapan tarikh pilihan raya merupakan hak mutlak SPR dan tidak wajar dipertikaikan oleh mana-mana pihak, termasuk anggota pentadbiran kerajaan.
“Itu adalah hak dan kuasa SPR dan tidak sepatutnya mana-mana individu, apatah lagi jika berkedudukan sebagai anggota Jemaah Menteri, mengemukakan pandangan peribadi sedemikian.
“Lebih-lebih lagi jika individu berkenaan adalah pemimpin utama parti yang menjadi sebahagian daripada kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Ilmuwan Asia Tenggara Keempat (The 4th Southeast Asian Scholars Conference 2026) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini.
Ahmad Zahid mengulas kenyataan Timbalan Pengerusi DAP Nga Kor Ming yang menyifatkan penjelasan SPR berhubung pelaksanaan PRN Johor dan Negeri Sembilan secara berasingan sebagai tidak munasabah.
Kor Ming pada Jumaat dilaporkan mempersoalkan keputusan tersebut.
Katanya, Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dan Negeri Sembilan dibubarkan dalam tempoh hanya selang tiga hari, dan beliau mencadangkan agar keseluruhan anggota suruhanjaya itu meletak jawatan sekiranya gagal mengendalikan pilihan raya secara serentak.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau mengingatkan semua pemimpin parti komponen agar menjaga hubungan dalam gabungan dan tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh menjejaskan kerjasama sedia ada.
Mengulas kenyataan Ketua Pemuda DAPSY yang melabel UMNO sebagai hipokrit berhubung kerjasama politik dengan Pakatan Harapan, Ahmad Zahid berkata setiap rakan kongsi perlu menjaga tutur kata.
“Rakan kongsi politik harus menjaga hati. Yang penting, jaga lidah supaya tidak meluahkan apa sahaja yang terlintas,” katanya.