Skip to main content

Malaysia

Fadhlina serah surat kelulusan pembinaan bangunan baharu SJKC Heng Ee

fadhlina Sidek
Fadhlina menyerahkan surat kelulusan bagi pembinaan bangunan baharu Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Heng Ee hari ini. - Gambar/ KPM

GEORGE TOWN: Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek hari ini menyerahkan surat kelulusan bagi pembinaan bangunan baharu Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Heng Ee, yang akan dibangunkan di kawasan bawah pentadbiran Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Barat Daya.

Beliau berkata pembinaan bangunan baharu itu penting bagi menyediakan infrastruktur pendidikan yang lebih selesa dan kondusif, sejajar dengan peningkatan permintaan daripada penduduk serta komuniti setempat.

“Usaha meningkatkan infrastruktur bangunan yang kondusif akan menyokong agenda pendidikan, khususnya pelaksanaan kurikulum baharu tahun depan dan Rancangan Pendidikan Malaysia.

“Infrastruktur yang selesa dan kondusif amat penting untuk terus meningkatkan mutu pembelajaran anak-anak,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan surat kelulusan itu, di sini hari ini.

Fadhlina berkata sekolah berkenaan akan berpindah dari lokasi sedia ada ke kawasan bawah pentadbiran PPD Barat Daya, manakala tapak lama akan dikembalikan kepada pemilik asal.

Beliau berkata pihak sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), lembaga pengelola sekolah, alumni serta jawatankuasa berkaitan telah berusaha mengumpulkan dana bagi membiayai pembangunan berkenaan.

“Saya difahamkan dana yang berjaya dikumpulkan telah mencapai RM22 juta dan mereka memerlukan sedikit lagi untuk memastikan keseluruhan sekolah itu kondusif, termasuk penyediaan bilik darjah, makmal, perabot dan infrastruktur lain,” katanya.

Beliau berkata usaha pengumpulan dana akan diteruskan, termasuk menerusi majlis makan malam sempena ulang tahun ke-70 sekolah berkenaan.

Fadhlina berkata sebagai sekolah bantuan kerajaan, Kementerian Pendidikan (KPM) akan terus meneliti bentuk sokongan yang boleh diberikan, khususnya dari segi penyelenggaraan selepas bangunan itu siap.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement